Ubah pendekatan kuasa veto - Dr Mahathir
Teks ucapan penuh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)
Malaysia mengalu-alukan tema perhimpunan agung tahun ini, iaitu ‘Memperkukuhkan usaha pelbagai hala dalam kualiti pendidikan, keterangkuman, tindakan iklim dan membasmi kemiskinan’. Kunci utama di sebalik tema ini ialah ‘memperkukuhkan usaha pelbagai hala’, yang menjadi nadi fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saya akan mengutarakan beberapa cadangan.
Hampir 75 tahun lalu, lima negara mendakwa melakar kejayaan dalam Perang Dunia Kedua. Asas kejayaan itu disandarkan pada penegasan bahawa mereka mempunyai hak untuk memimpin dunia. Oleh itu, mereka berikan diri mereka kuasa veto berbanding negara lain menerusi sebuah organisasi yang ditubuhkan - sebuah organisasi yang didakwa mampu mengakhiri kemelut peperangan dihimpit pertikaian konflik.
Kuasa veto berkenaan - mereka perlu sedar hakikat bahawa ia bercanggah dengan semua prinsip hak asasi manusia yang kononnya dimartabatkan selama ini. Ia membunuh nadi imej pertubuhan yang mereka wujudkan. Ia memastikan semua penyelesaian terhadap konflik berupaya disangkal dalam kalangan mereka. Menjurus kepada perpecahan ideologi sehingga merencatkan usaha merungkai masalah.
Setiap orang dalam kalangan mereka boleh mengetepikan hasrat hampir 200 anggota lain. Ia sesuatu yang sudah semestinya amat tidak demokratik. Itu pun, ada dalam kalangan mereka yang melemparkan cacian kepada negara lain di dunia kerana tidak bersikap demokratik atau sepenuhnya mengamalkan prinsip demokrasi.
Berapa lama lagi harus kita biarkan kumpulan ini memegang tampuk kuasa? Sampai bila, selamanya?
Jangka waktu yang tidak pernah diusulkan ini tampak seperti ia akan kekal selamanya.
Kuasa inilah yang mengundang kepada perbalahan. Setiap satu daripada lima ahli ini meletakkan kebergantungan terhadap kekuatan ketenteraan demi menundukkan mana-mana pihak yang cuba mendalangi gerakan menggulingkan kuasa mereka. Di sudut hati, mereka perlu kekal dilengkapi barisan pertahanan bagi memastikan hak berada dalam kalangan ‘lima teristimewa’ ini sentiasa terjamin.
Struktur inilah yang membawa kepada kerencatan PBB merealisasikan matlamat utamanya - iaitu menangani risiko peperangan antara negara anggota. Sebaliknya, struktur sedemikian bertukar sebagai pemangkin yang menggalakkan sentimen peperangan dalam dan antara negara.
Benar, negara Eropah yang sering dikaitkan dengan episod peperangan tidak pernah mencetuskan bibit peperangan dengan pihak lain sepanjang tempoh dua pertiga kurun lalu. Tetapi pada sisi lain, ada bukti bahawa negara Eropah menjadi pencetus berlakunya peperangan, manakala senjata dan penyaluran dana yang mencerminkan pembabitan aktif mereka turut disaksikan dalam kemelut peperangan yang kian berpanjangan.
Israel - Akar umbi keganasan
Tindakan pertama didalangi negara Barat ialah ‘melahirkan’ Israel dengan menjarah tanah Palestin dan menyingkirkan hampir 90 peratus penduduknya yang terdiri daripada golongan Arab. Sejak itu, peperangan meletus di pelbagai negara yang majoritinya dikaitkan dengan bibit kewujudan Israel.
Kini, kita mempunyai isu keganasan yang sebelum ini tidak pernah wujud dalam ‘kamus dunia’ atau sekurang-kurangnya pada keadaan semasa. Penyelesaian menerusi tindakan ketenteraan tidak akan merungkai keganasan. Kita wajar mengenal pasti punca keganasan sebelum menggerakkan usaha menghapuskannya. Tetapi kuasa besar keberatan untuk berdepan dengan punca kemelut ini.
Mereka lebih cenderung menggunakan tindakan ketenteraan dan mengisytiharkan sekatan. Ini hanya akan selamanya membawa kepada kegagalan mereka menghentikan keganasan.
Malaysia menerima Israel sebagai suratan takdir. Bagaimanapun, kita tidak boleh menerima tindakan didalangi Israel yang menjarah bumi Palestin demi mendirikan penempatan mereka, selain menawan kota Baitulmaqdis. Rakyat Palestin langsung tidak dibenarkan balik ke rumah yang didirikan atas tanah mereka sendiri.
Susulan ‘kelahiran’ Israel, golongan Muslim dan penganut Islam dimusuhi. Muslim didakwa sebagai pengganas walaupun mereka tidak berbuat apa-apa. Negara Muslim diranapkan menerusi kempen menuntut demokrasi dan pertukaran rejim. Golongan Muslim di seluruh dunia ditindas, dibuang dari negara sendiri dan dinafikan hak suaka.
Beribu mati di lautan dan dalam iklim sejuk. Hakikatnya, sebelum ini tidak pernah wujud migrasi besar-besaran. Sekarang, ketidakstabilan dan perang angkara perubahan rejim memaksa mereka melarikan diri meninggalkan negara sendiri.
Saya harus akui, demokrasi adalah struktur kerajaan yang lebih baik berbanding pemerintahan diktator, namun demokrasi bukan pendekatan paling mudah untuk mengendalikan tadbir urus khususnya jika kita menjangkakan perubahan dalam waktu singkat.
Masa harus diberikan bagi memberi laluan ke arah perubahan dalam demokrasi. Negara yang mempromosikan demokrasi berupaya mengecapi keadaan demokratik mungkin dalam jangka abad atau kurun lamanya.
Natijah daripada merintis peralihan kepada demokrasi secara sekelip mata hanya mengundang ketidakstabilan dan perang saraf, malah mampu mencetuskan kekacauan ibarat negara tanpa kerajaan.
Tidak kurang juga sesetengahnya bertukar menjadi rejim ‘authoritarian’ yang ternyata lebih buruk daripada kerajaan terdahulu.
Gagal mencari jalan keluar daripada peperangan dan keganasan, rakyat mereka bertebaran meninggalkan tanah air sendiri.
Demokrat terulung sentiasa bercakap mengenai kedaulatan undang-undang, namun mengamalkan dasar ‘pilih kasih’. Rakan-rakan mereka bebas melanggar undang-undang dan terlepas daripada pendakwaan.
Oleh itu, Israel boleh sesuka hati melanggar perundangan antarabangsa dan norma dunia, tetapi terus meraih sokongan serta dipertahankan. Di mata mereka, semua tindakan negara yang ‘tidak mesra’ adalah salah.
Tiada keadilan di dunia
Saya mesti sekali lagi merujuk kepada nasib Rohingya di Myanmar. Sejak mencapai kemerdekaan, ramai koloni Barat menyingkirkan warga bukan tempatan dari negara mereka, tetapi tidak sekejam kejadian di Myanmar.
Sampaikan rakyat tempatan terkorban, dibunuh dengan kejam dan dirogol, manakala rumah di perkampungan mereka dibakar sambil semua ini disaksikan masyarakat dunia.
Mereka dipaksa untuk berhijrah dan kini tidak sanggup kembali ke Myanmar walaupun diberi tawaran berbuat demikian. Mereka tidak boleh menaruh kepercayaan terhadap tentera Myanmar kecuali diberi perlindungan bersesuaian.
Ketidakupayaan dunia sehingga sekadar mampu melihat kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar akhirnya menghakis makna resolusi dimeterai PBB. Kini, walaupun resolusi PBB dikemukakan terhadap Jammu dan Kashmir, negara berkenaan masih dijajah dan dicerobohi.
Mungkin ada sebab perkara ini terjadi tetapi ia masih sesuatu yang salah. Masalah harus dirungkai menerusi pendekatan yang aman. India sewajarnya berganding bahu dengan Pakistan untuk menyelesaikan masalah ini.
Tindakan mengetepikan PBB hanya akan terus merosotkan rasa hormat terhadap pertubuhan ini dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Setiap negara di dunia ini menyemat hasrat untuk menjadi kaya dan memacu perkembangan ekonomi.
Ketika zaman penjajahan, harta mereka dieksploitasi demi memperkayakan penjajah, justeru tiada harapan yang berupaya dipertaruhkan ketika itu.
Bagaimanapun, jauh di lubuk hati, mereka mempunyai keinginan untuk menerajui pembangunan negara sendiri, namun dinafikan daripada berbuat demikian.
Banyak diperkatakan mengenai perdagangan bebas, tetapi sering kali pelbagai perundangan baharu diperkenalkan sehingga ‘membunuh’ denyut pembangunan negara miskin. Hal ini kerana lazimnya cadangan untuk melaksanakan perundangan dan garis panduan berkaitan diterajui golongan kaya, selain dikendalikan secara rahsia.
Orang miskin secara tidak langsung terpaksa menerima perundangan ini. Satu contoh ketara ialah Perjanjian Trans-Pasifik yang pada asalnya dirangka oleh Washington menerusi pandangan disalurkan kelompok ‘gergasi’ perniagaan mereka. Bersandarkan inti pati perjanjian itu, kerajaan negara kecil boleh ‘dijerut’ untuk melunaskan pampasan bernilai tinggi kepada syarikat besar asing, sekiranya keputusan mereka menjejaskan kadar penjanaan keuntungan entiti perniagaan gergasi, termasuk keuntungan pada masa depan.
Nasib baik, negara kuasa besar yang merangka perjanjian ini sudah menarik balik dokumen berkenaan. Susulan penarikan diri negara kuasa besar, perjanjian ini tampak lebih boleh diterima pakai. Bagaimanapun, inti pati perjanjian berkenaan memperuntukkan syarat tertentu mengenai perdagangan - yang mengekang perdagangan bebas.
Kita difahamkan bahawa segala bayaran duti import harus dihapus atau dikurangkan bagi memberi laluan kepada produk asing menyingkirkan industri tempatan yang masih ‘melata’ dalam dunia perniagaan. Kebenaran untuk mengeksport pula hanya tertakluk kepada bahan mentah. Macam mana kami nak mencapai taraf perindustrian dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat?
Contoh klasik mengenai perihal menafikan perdagangan bebas ialah menyekat import minyak kelapa sawit yang dicadangkan negara Eropah. Gara-gara tidak mampu mengekalkan persaingan pasaran minyak masak mereka, kempen menyekat minyak kelapa sawit dilaksanakan.
Macam-macam dicanangkan, antaranya minyak kelapa sawit meracuni kesihatan, memusnahkan habitat monyet Belanda, mengurangkan kadar peresapan karbon dioksida dan lain-lain. Produk Eropah dilabel bebas daripada bahan minyak kelapa sawit. Minyak bio menggunakan minyak kelapa sawit pula disekat.
Malaysia dan banyak negara miskin lain menghasilkan minyak kelapa sawit. Malaysia tidak akan meneroka lebih banyak kawasan hutan untuk tujuan penanaman kelapa sawit. Kita prihatin mengenai perihal alam sekitar seperti masyarakat Eropah. Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992, Malaysia memahat janji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan kawasan dilitupi hutan.
Kita berpegang pada janji ini, malah berada pada tahap lebih baik. Ketika ini, kadar kawasan hutan di tahap 55.3 peratus, iaitu melebihi janji yang dimeterai di Rio. Minyak kelapa sawit masih menjadi peneraju penyumbang ekonomi kami.
Tiada bukti bahawa ia beracun. Kami merayu kepada pertimbangan wajar golongan kaya untuk tidak cuba menyebabkan Malaysia miskin, selain menindas hak ratusan ribu kakitangan kami daripada menjana pendapatan untuk menampung kehidupan. Adalah sesuatu yang mulia jika anda membantu membeli minyak kelapa sawit.
Selari hasrat mengekalkan matlamat penubuhan PBB, Malaysia melancarkan kempen supaya perang dianggap perlakuan jenayah. Adalah tidak masuk akal jika individu digantung sampai mati kerana membunuh seseorang, tetapi kita mengagungkan orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan berjuta manusia. Peperangan model kini menjadi lumrah.
Bukan sekadar askar tempur terbunuh, tetapi nyawa tidak berdosa, kanak-kanak, orang sakit dan tidak berupaya akan turut terkorban serta mengalami kecederaan. Seluruh negara berduka, manakala trilion dolar lesap. Akhirnya, kedua-dua iaitu juara dan pihak yang kalah berdepan penderitaan.
Kita mendabik dada dengan mengatakan kita adalah masyarakat bertamadun, tetapi masih sangat kolot kerana ‘pejam mata’ terhadap perlakuan membunuh orang lain semata-mata untuk mengakhiri kemelut dalam dan antara negara.
Ada cara lain untuk menyelesaikan pertikaian. Kita boleh berunding atau mengemukakan permohonan timbang tara menerusi pihak ketiga. Atau kita boleh bawa kepada perundangan mahkamah - contohnya, Mahkamah Dunia dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Malaysia bukan ‘cakap tidak serupa bikin’. Kita lakukan. Kita selesaikan pertikaian dengan negara jiran menerusi rundingan dan Mahkamah Dunia. Ada kes yang kita menang, ada yang kita kalah. Tetapi tiada sesiapa yang terbunuh.
Tidak semua yang kita tuntut di mahkamah akan menjadi hak milik kita akhirnya. Tetapi pengakhiran sama terjadi dengan peperangan. Kita tidak semestinya selalu menang. Dalam pertarungan membabitkan dua pihak, satu pasti mengalah jika satu lagi pihak ingin menang.
Bagaimanapun, jika kita gunakan pendekatan aman, kita masih berdepan kekalahan tetapi mendapat kesan yang kurang. Tiada yang akan mati atau kecewa.
Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.- Foto BERNAMA
Perubahan iklim dan malapetaka
Dunia mengalami perubahan iklim. Persekitaran di Malaysia kini lebih panas daripada sebelum ini, malah ia tidak mungkin kembali kepada keadaan suhu terdahulu. Sebaliknya, ia seakan lebih panas saban hari.
Di tempat lain, taufan dan ribut memusnahkan keseluruhan bandar, membunuh ribuan nyawa serta mencetuskan kekacauan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Banjir angkara hujan lebat menenggelamkan kawasan yang sangat luas. Ada waktunya, kemarau berlaku dan kebakaran tidak disengajakan terjadi sehingga memusnahkan hutan serta bandar, sekali gus menyebabkan ratusan terkorban.
Letusan gunung berapi dan gempa bumi kini lebih kerap terjadi sehingga memusnahkan bandar serta banyak kota. Peningkatan suhu global menyaksikan ais di Antartika dan Kutub Utara terus mencair, sekali gus meningkatkan aras laut serta mengundang risiko untuk menenggelamkan beberapa kepulauan dunia.
Pada hemat saya, siri bencana ini adalah sebahagian kesan susulan kitaran perubahan bumi yang berlaku dalam tempoh jutaan tahun lalu. Adakah kemungkinan bahawa iklim penuh stabil yang kita nikmati selama ini sudah sampai ke penghujungnya?
Mungkinkah kitaran ini mengalami perubahan, seperti yang pernah berlaku ketika zaman prasejarah berjuta tahun lalu? Wujud kebarangkalian bahawa suhu bumi akan terus meningkat pada tahap yang tidak dapat ditampung makhluk hidup?
Saya berpendapat, berbanding asyik nak berperang, adalah lebih baik untuk kita memberi tumpuan terhadap perubahan iklim dan pelbagai bencana alam yang akan datang. Kita harus berganding bahu bersedia menangani perubahan iklim, mengembalikan persekitaran normal kehidupan yang pernah kita nikmati suatu masa dulu.
Kita harus bersiap siaga dengan gempa bumi berskala besar, taufan, ribut, banjir, tanah runtuh dan lain-lain. Kita harus belajar bagaimana cara untuk mengatasi bencana alam ini. Kita harus membina tempat berlindung, ‘menghasilkan’ hujan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari serta berada jauh dari pinggir perairan laut.
Kita wajar menubuhkan pasukan yang mempunyai kepakaran berdepan bencana sekiranya pertolongan diperlukan di kawasan terjejas. Setiap bencana ialah bencana dunia. Rangkaian bencana alam ini mungkin tidak akan terjadi, tetapi usah kita meletakkan kebergantungan sedemikian.
Kita membazirkan wang untuk persediaan peperangan, menghasilkan senjata pemusnah yang lebih dahsyat, sedangkan kita berdepan kemungkinan untuk dihapuskan oleh bencana alam ketika bumi meniti kitaran seterusnya.
Sebagai manusia, kita mempunyai kecerdikan akal fikiran. Kita masih mampu hidup pada kitaran seterusnya jika menyatukan semua penyelidik untuk merangka mekanisme pertahanan bersesuaian berdepan malapetaka.
Jika kita kurangkan peruntukan kewangan untuk membunuh orang, kita akan mempunyai cukup dana bagi tujuan penyelidikan dan persediaan.
Perdagangan, sekatan dan kapitalisme
Malaysia ialah negara berpendapatan pertengahan, yang meletakkan kebergantungan terhadap perdagangan untuk menerajui pertumbuhan. Lazimnya, pasaran kami ialah negara kaya.
Sekarang, golongan kaya berhasrat untuk kita seimbangkan perdagangan, dengan memberi lebih banyak barangan mereka, demi memperbetulkan neraca ketidakseimbangan. Untuk itu, kita harus membayar lebih bagi mengimport barangan daripada golongan kaya. Pertumbuhan kami akan terencat, justeru yang kaya akan terus menjadi lebih kaya.
Perdagangan menjana kekayaan untuk semua dan kesan limpah ini dibuktikan selama ini. Malaysia ialah negara pedagang. Jumlah penduduk kami sangat kecil untuk menampung bekalan pasaran yang baik, justeru kita perlukan pasaran dunia.
Menerusi teknologi komunikasi terkini, kita berupaya melonjakkan aspek perdagangan di pentas dunia. Oleh itu, usah jadikan kami miskin dengan meletakkan paksaan membeli barangan yang tidak diperlukan atau demi mengurangkan kadar eksport.
Perang perdagangan adalah pembaziran. Memandangkan seluruh dunia kini menjadi pasaran untuk semua, perang dagangan hanya akan membantutkan potensi untuk semua mengaut kekayaan.
Kita juga menyaksikan sekatan dikenakan terhadap pelbagai negara. Kita tidak tahu apa peruntukan perundangan yang digunakan untuk melaksanakan percaturan seperti ini. Ia nampaknya keistimewaan golongan kaya dan yang berkuasa. Jika kita mahu sekatan, kita harus menggubal undang-undang berkaitan bagi mentadbir pelaksanaannya.
Hakikatnya, apabila sekatan dikenakan terhadap sebuah negara, negara lain turut terpalit sama.
Malaysia dan banyak pihak lain berdepan kerugian pasaran yang sangat besar apabila sekatan dikenakan terhadap Iran.
Saya percaya dengan kapitalisme, tetapi ia sudah menjadi ‘gila’ apabila matlamatnya adalah untuk mengaut keuntungan sehingga angka trilion. Ia adalah sesuatu yang berbahaya apabila seseorang atau sebuah syarikat untuk mempunyai jumlah wang sedemikian. Ia mampu mempengaruhi dan membeli kuasa. Oleh itu, wujudnya rangkaian perundangan antikepercayaan.
Kita lihat sendiri dalam Perjanjian Trans-Pasifik - TPP, apabila syarikat yang kaya memperuntukkan kuasa kepada diri sendiri untuk menyaman kerajaan. Terma perjanjian ini dirangka sendiri oleh mereka dan bukan semuanya seperti Bill Gates. Semuanya mempunyai agenda untuk memanipulasi kuasa berbekalkan kekayaan yang diperoleh mereka.
PBB - Percaturan seterusnya
PBB gagal memberi perlindungan terhadap golongan miskin daripada ‘wabak’ peperangan, namun ada aspek lain yang pertubuhan ini melakar kejayaan. Ia menyumbang kepada taraf kesihatan lebih baik, menangani penderitaan segelintir golongan miskin dan yang memerlukan.
Sememangnya, ia menyediakan aras keselamatan dan keamanan tertentu di sesetengah tempat yang dilanda konflik dalaman.
Ia boleh lakukan lebih daripada itu, tetapi pertubuhan ini berdepan kekangan dana. Pelbagai negara, termasuk yang kaya raya tidak menjelaskan bayaran mereka. Ia sesuatu yang memalukan.
Kita masih perlu menyokong PBB walaupun ia gagal menyekat peperangan daripada berlaku. Sumbangannya terhadap kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial menjadikan PBB sesuatu yang bernilai untuk terus dikekalkan.
Saya ingin berterima kasih kepada kakitangan dan pegawai PBB atas kerja serta dedikasi mereka, mencakupi pelbagai aspek ini.
Malaysia berupaya menyalurkan sumbangan dengan menyertai misi pengaman di pelbagai negara.
Saya teruja untuk menyaksikan sendiri tiba masanya apabila perkhidmatan mereka tidak lagi diperlukan, kerana negara ini mampu memastikan keselamatan tanpa bantuan pihak lain.
PBB seharusnya memainkan peranan penting dalam mengembalikan fungsi kerajaan yang dilanda kegagalan. Banyak negara berdepan kegagalan kerana jentera pentadbirannya tidak berfungsi dengan baik. Teknologi moden berupaya membantu tetapi latihan masih diperlukan untuk tujuan berkenaan.
Negara dan rakyatnya harus diberikan hak untuk mengekalkan budaya serta corak kehidupan mereka.
Sekiranya gaya hidup mereka menafikan hak asasi manusia orang lain, maka UNGA boleh campur tangan dengan mengenakan sekatan antarabangsa.
Bagi Majlis Keselamatan PBB, sudah tiba masanya pendekatan kuasa veto diubah suai sekiranya ia tidak mampu dimansuhkan sepenuhnya. Veto hanya sahih sekiranya dua kuasa veto bersama tiga ahli bukan veto mencapai persetujuan untuk melaksanakannya. Menerusi pendekatan sedemikian, penyalahgunaan kuasa akan dapat dikurangkan.
Tempoh 75 tahun adalah sangat lama. Kita tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kejadian masa lampau. Kuasa veto tidak sewajarnya mempunyai tanggapan bahawa mereka tertakluk dengan perundangan dan norma antarabangsa.
Kini, senjata berkuasa yang baharu dan murah berupaya dihasilkan, malah membolehkan golongan miskin untuk mencipta serta menggunakannya. Jika kita tidak mentafsirkan peperangan sebagai perlakuan jenayah, keselamatan kita tidak akan dapat dikekalkan.
Kita harus ‘hidupkan semula’ matlamat utama pertubuhan ini - PBB. Kita harus hukum pihak yang mencetuskan peperangan. Kita wajar jadikan dunia aman untuk semua. Itu misi kita dan selamanya ia harus kekal sedemikian. Hanya jika kita berjaya menempa kejayaan berkenaan, kita boleh katakan kita sudah bertamadun.
bharian
0 comments:
Post a Comment