Friday, December 20, 2019

KL Summit










Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bertujuan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baharu serta berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa dunia Islam, di samping menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam serta negara Islam. - Foto hiasan
 
KL Summit: Isu Rohingya cuba diketengahkan
Oleh Fahmy A Rosli

KUALA LUMPUR: Seorang etnik Rohingya akan mengedar laporan setebal 94 muka surat kepada pemimpin dan wakil negara Islam yang hadir di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit), esok.

Mewakili usaha itu adalah Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Zafar Ahmad berkata, antara kandungan dalam laporan itu adalah fakta sejarah kewujudan etnik minoriti itu dan situasi terkini di Myanmar.

Beliau menegaskan, fakta sejarah yang terkandung dalam laporan itu adalah usaha pihaknya untuk membetulkan tanggapan sesetengah pihak bahawa masyarakat Rohingya adalah Orang Asal di negara itu, bukannya pendatang.

Selaku peserta persidangan ini, beliau berkata, ia menjadi platform terbaik kepadanya untuk menguar-uarkan perkara dan situasi sebenar menimpa etnik Rohingya.

“Saya ada hak untuk bercakap. Sepanjang persidangan ini, saya akan edar buku laporan setebal 94 muka surat yang mengandungi sejarah dan janji. Kami di Rakhine, Myanmar bukan pendatang. Kami Orang Asli di Rakhine.

“Insya-Allah, esok kami juga akan cuba hantar laporan kepada wakil atau ketua negara mengenai situasi yang berlaku terhadap etnik Rohingya. Nasib kami belum terbela dan kami masih ditindas di tanah air sendiri.

“Alhamdulillah, sidang kemuncak ini boleh dijadikan langkah awal buat kami untuk sebar sekali gus memberitahu kepada seluruh dunia situasi getir yang sedang dihadapi etnik Rohingya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Mengulas lanjut penganjuran KL Summit 2019 yang akan dipengerusikan oleh Malaysia, Zafar Ahmad berkata, walaupun persidangan ada beberapa isu tertentu, ia perlu dilihat daripada aspek positif untuk pembangunan umat Islam.

Meskipun hanya lima negara terbabit selaku pengasas persidangan ini, katanya, ia langkah permulaan mencari titik penyelesaian sebelum ia berkembang sekali gus menarik lebih banyak penyertaan negara Islam lain pada masa akan datang.

Walaupun banyak kali isu membabitkan penindasan dan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rohingya bangkitkan ketika Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), beliau mendakwa sehingga kini belum ada penyelesaian efektif dilakukan.

“Apa yang saya nampak, negara yang sertai KL Summit esok adalah langkah awal. OIC bila-bila pun boleh bersidang dan mereka pun ramai ahli. Saya harap, Malaysia selaku tuan rumah persidangan ini dapat cari penyelesaian.

“Sidang ini penting untuk ummah, bukan untuk tunjuk siapa bagus atau siapa mahu membayangi siapa. Saya harap persidangan ini dapat medan mengumpulkan umat Islam seluruh dunia untuk bantu membentuk masa depan etnik Rohingya yang lebih terjamin.

“Kami telah cuba membawa isu ini kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun berdepan dengan beberapa cabaran dan halangan. Saya berharap, ummah seluruh dunia boleh bersama-sama membantu membaiki situasi kami,”

bharian
Share this article :

0 comments: