Friday, July 10, 2020

klinik maha


Klinik Maha - Cara Mahathir bantu warga tua dan susah




Tun Dr Mahathir telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953.

Dr. Mahathir telah memulakan klinik beliau, Klinik MAHA pada tahun 1957 yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Dr. Mahathir merupakan doktor Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar ketika itu.

Menurut seorang bekas pesakit Maha Klinik, Zainol Aziz, dia tidak pernah membayar satu sen pun sepanjang mendapat rawatan di situ.

Menurut Zainol, beliau bukan sahaja yang mendapat perkhidmatan percuma, malah ramai penduduk di sekitar daerah ini khususnya golongan tua, kurang upaya dan kumpulan berpendapatan rendah mendapat layanan terbaik daripada Dr. Mahathir.

Selain tidak mengenakan bayaran kepada pesakitnya, layanan mesra pelanggan disertai dengan tutur katanya yang lemah lembut serta sikapnya yang suka mengambil berat tentang pesakitnya sehingga kini sukar untuk dilupakan oleh bekas pesakitnya.

Zainol menceritakan, Dr. Mahathir sering mempelawa rakan-rakannya atau orang-orang tua di kampung-kampung yang sakit agar datang ke klinik beliau untuk diberikan rawatan.

Dia (Dr. Mahathir) selalu kata kalau ada orang-orang tua yang sakit bawalah datang ke sini, dia tidak mahu ambil duit sebab dia nak tolong secara ikhlas,'' cerita Zainol ketika ditemui.

Zainol yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas dan hanya berpendapatan RM3.50 sehari begitu berterima kasih kepada Dr. Mahathir kerana merawatnya secara percuma.

Seorang lagi bekas pesakit Maha Klinik, Ismail Hussin juga mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan semasa pergi mendapatkan rawatan Dr. Mahathir.

“Saya menaiki sampan selama hampir dua jam melalui Sungai Pasir dan Sungai Anak Bukit semata-mata untuk mendapat rawatan di klinik Dr. Mahathir di Pekan Melayu,'' katanya

Tambah beliau, Dr. Mahathir juga akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap pesakitnya meskipun beliau hanya mengadu demam biasa sahaja.

Kebanyakan orang tua dan orang kampung memang suka datang ke klinik itu kerana ia merupakan satu-satunya klinik milik orang Melayu di negeri Kedah, malah ada pelanggannya datang dari jauh hingga negeri Perlis.

Selain merawat pesakit di klinik, Dr. Mahathir juga akan memasuki kampung pedalaman jika dipanggil dan kadangkala terpaksa menumpang basikal atau motosikal jika kereta beliau tidak dapat sampai ke rumah pesakit.

Ditanya mengenai asalnya perkataan Maha, Dr. Mohamed Yacob berkata mungkin ia nama pendek Dr. Mahathir ataupun gabungan nama beliau dengan isterinya Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr. Mahathir bagaimanapun berhenti daripada merawat pesakit di kliniknya selepas dilantik sebagai Menteri Pendidikan setelah beberapa bulan memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974.

Walaupun telah bersara dari tugas merawat peakit secara fizikal, Tun Dr Mahathir terus menggalas tanggungjawab "merawat" negara dan masyarakat sehingga ke hari ini.
Share this article :

0 comments: