selamat datang ke ambang

merenung dengan akal membaca dengan fikir
segenap kata segenap makna
bahasa suara bangsa fikir nusa degup ibunda
tanah keramat hidup bersama bersatu berpecah tiada

putrajaya

Tuesday, September 4, 2018

Tun M dan Kongres Masa Depan Bumiputera

No comments:
Ucapan Tun M ketika Kongres Masa Depan Bumiputera
1 SEPTEMBER 2018



Dr Mahathir berucap pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama



KUALA LUMPUR – Berikut merupakan antara petikan ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan “Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Kita lihat pelbagai cara diperkenalkan untuk menjayakan ekonomi bumiputera. Kejayaan ini dicapai kadang-kadang dengan menimbulkan perasan tidak senang di kalangan kaum-kaum yang lain kerana kita memberi keutamaan kepada bumiputera.


Kita sediakan peluang-peluang perniagaan, kita memperkenalkan cara-cara untuk menjayakan syarikat-syarikat bumiputera, kontraktor bumiputera dengan mengadakan satu perkenalan sistem yang baru iaitu dengan ‘direct nego’ ini. Kita perkenalkan ‘direct nego’ ini ramailah bumiputera yang mendapat peluang yang jika tidak mereka tidak akan dapat peluang sama sekali.

Kita juga perkenalkan lebih banyak peluang, lebih banyak lesen, lebih banyak kontrak, lebih banyak AP, dan macam-macam lagi yang diperkenalkan oleh pemerintah pada ketika itu untuk menjayakan dasar ekonomi baru yang berhasrat untuk menjayakan bumiputera.

Satu daripada cara yang diperkenalkan yang tidak kerap disebut kerana ia berjaya iaitu kita telah memberi begitu banyak biasiswa kepada anak-anak Melayu dan bumiputera lain, banyak biasiswa yang kerap kali tidak berasaskan kepada merit.

Kalau kita mengikuti cara merit maka yang mendapat kelulusan yang tertinggi sekali sahaja yang akan dapat biasiswa. Kita percaya bahawa yang dapat tempat nombor dua, nombor tiga, nombor empat, nombor lima juga mempunyai kebolehan.

Sebab itu apabila kita memberi biasiswa, kita tidak beri semata-mata kepada yang nombor satu, tetapi kita beri juga pada nombor dua, tiga , empat dan lima, dan ramailah yang mendapat peluang belajar di universiti dalam negeri dan di luar negeri.

Yang anehnya walaupun mereka bukanlah yang terbaik dalam kelas mereka , darjah mereka, tetapi pencapaian mereka begitu menggalakkan iaitu yang nombor dua, tiga, empat dan lima. Ini juga boleh mencapai kejayaan peperiksaan-peperiksaan di peringkat universiti di dalam negeri dan juga di luar negeri, dan mereka kembali dengan ijazah-ijazah tertinggi.

Demikianlah kejayaannya yang pada mulanya jumlah doktor di Malaysia ini cuma dua peratus sahaja terdiri daripada bumiputera dan Melayu tetapi hasil daripada dasar pemberian kepada yang tidak tertinggi, kelulusan tidak tertinggi ini, jumlah doktor umpamanya sudah meningkat kepada 40 peratus daripada doktor-doktor di Malaysia ini.

Sudah 40 peratus daripada dua peratus tentulah ini merupakan satu kejayaan. Demikianlah pencapaian doktor-doktor ini yang kelulusannya tidak begitu tinggi, sehingga apabila seorang perdana menteri itu dapat sakit jantung dia sanggup serah diri dia kepada orang yang nombor tiga, empat , lima ini.

Alhamdulillah, mereka berjaya, mereka menjadi orang yang terkenal dalam bidang itu , demikian jugak dalam jurusan-jurusan lain kita mempunyai engineer, arkitek dan bermacam lagi hasil daripada pemberian biasiswa bukan semata-mata yang mendapat nombor satu, tetapi juga kepada yang mendapat nombor dua, tiga, empat dan lima, mungkin enam, tujuh, lapan pun ada.

Sebenarnya mereka ini berkebolehan tetapi kalau tidak diberi peluang maka situlah mereka tidak mencapai kejayaan. Kalau kita tumpukan hanya kepada yang nombor satu, yang nombor dua, tiga, empat , lima, enam ini akan jadi kerani seperti di zaman British.

Di zaman British, kita punya niat adalah apabila lepas sekolah nak jadi kerani, itu saja ketinggian besar cita-cita kita, tapi Alhamdulillah hasil dasar daripada ekonomi baru ini kita dapati ramai yang berkebolehan dan kerana mereka diberi peluang, diberi biasiswa, maka mereka mencapai kejayaan yang cukup memuaskan,

Walaupun ada sebahagian yang tidak begitu bersyukur dan menganggap ini satu ketidakadilan kepada orang lain. Mereka menikmati biasiswa dan kejayaan daripada pelajaran mereka sementara mengutuk perbuatan memberi biasiswa kepada orang yang tidak mempunyai merit.

Saya tak nak cakap banyak berkenaan dengan mereka, tetapi saya percaya bahawa mereka yang mendapat peluang luar biasa ini berterima kasih, bersyukur dan biasa juga menyebut terima kasih kerana mendapat peluang. Antara mereka ramai yang berjaya tapi ramai juga yang tidak berjaya,

Tuan-tuan dan puan-puan inilah sebahagian daripada hasil dasar ekonomi baru, ramai yang menafikan bahawa dasar ekonomi yang baru ini memberi peluang hanya kepada kroni kerajaan. Kroni-kroni kerajaan ini kita lihat menjadi millionaire, billionaire dan ini adalah satu kesalahan kenapakah mereka ini memberi peluang hanya kepada kroni-kroni mereka tetapi sebenarnya ramai yang juga dapat peluang tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak berjaya.

Mereka tidak dianggap sebagai kroni, daripada 100 orang yang diberi peluang mungkin hanya empat, lima sahaja yang berjaya, yang berjaya ini akan dikenali oleh kita dan orang lain juga bahawa mereka ini adalah kroni kerajaan, yang gagal tidak jadi kroni kerajaan.

Sebenarnya yang dapat peluang dan yang gagal itu lebih ramai daripada yang berjaya. Kenapakah ada yang berjaya, ada yang tidak berjaya ? Apakah mereka ini tidak menjadi kroni kepada kerajaan? Tetapi mereka juga mendapat peluang walaupun kelulusan mereka tidak begitu baik, mereka juga dapat peluang tetapi mereka tidak berjaya, mungkin dapat kelulusan tetapi dalam usaha-usaha mereka dalam bidang perniagaan dan perusahaan umpamanya mereka tidak berjaya.

Mereka berhutang dengan bank, mempunyai masalah dan ada yang menjadi bankrap. Kerana mereka tidak berjaya, bankrap dan sebagainya maka mereka tidak ditakrif sebagai kroni kerajaan walaupun mereka juga diberi peluang yang sama seperi yang berjaya.

Kita senang hati, untuk menuduhkan bahawa ini disebabkan oleh kronisme, orang lain menuduh dan kita turut menuduh bahawa ini disebabkan kronisme yang memberi pertolongan hanya kepada yang berjaya tetapi sebenarnya semua diberi peluang yang sama.

Ada yang berjaya, ada yang tidak, yang tidak itu lebih ramai daripada yang berjaya kerana melihat yang berjaya ini menjadi millionaire, billionaire dan sebagainya, maka timbul rasa iri hati kepada mereka dan kita juga turut mengecam orang-orang ini sebagai kroni kerajaan dan menuduh kerajaan mengamalkan sistem kronisme.

Sebenarnya jika kita tak nak dituduh sebagai mengamalkan kronisme kita perlu tentukan semua daripada yang mendapat peluang ini akan gagal, tidak ada satupun yang akan berjaya. Apabila mereka gagal maka mereka tidak akan dipanggil sebagai kroni, dan kita juga demikian.

Kita juga turut sama menunjuk perasaan iri hati kita kepada orang yang berjaya , orang yang berjaya ini adalah orang yang berusaha. Ada kita telah memberi banyak AP, AP ini (approve permit), untuk kita dapat masuk dalam bidang automotif kerana terdahulu daripada itu semua agensi kereta dari luar negeri tidak terdiri daripada bumiputera. Mereka (bumiputera) tidak dapat masuk kerana ia ditentukan oleh orang yang tidak terikat dengan dasar ekonomi baru,

Untuk menentukan bahawa bumiputera juga akan dapat peluang memasuki bidang yang baik ini maka kita wujudkan satu lagi cara dengan memberi AP untuk mereka mengimport kereta-kereta terpakai yang sudah diperbaiki supaya mereka boleh jual kereta-kereta yang terpakai ini.

Ini bukan satu perniagaan yang buruk tetapi sepertimana kita tahu ramai yang dapat AP berniaga AP, menjual AP. Inilah yang berlaku kalau tak percaya apa yang saya kata, takpelah. Tapi hakikatnya ialah mereka menjual AP dan mereka menjadi pedagang AP.

AP mereka dapat secara percuma, daripada kerajaan takde modal langsung. Dengan itu ramai yang meminta AP dan dalam masa yang dapat itu juga mereka menjual kepada orang yang menunggu, menjual bukan pada harga yang murah pada masa itu.

Satu AP berharga RM8,000 mereka dapat 10 AP dan dapat RM80,000 sebulan cukup kaya, cukup banyak dengan menjual AP kerana takde modal yang terlibat. Dapat percuma, jual dengan harga yang tinggi dan rasa amat bangga kerana mereka sekarang ini menjadi kaya kerana dasar ekonomi baru, tetapi kita lihat mereka yang jual AP ini tidak kaya selama-lamanya.

Buat sekejap masa mereka mempunyai wang yang banyak, tetapi wang perlu diurus dengan baik. Wang kalau diguna untuk dibelanjakan sahaja tidak akan membuahkan lebih banyak keuntungan yang lain.

Sebaliknya daripada beberapa kerat antara mereka menggunakan AP itu untuk memulakan perniagaan dan hari ini kita lihat sekurang-kurangnya satu daripada orang ini yang bukan sahaja tidak jual AP tetapi membeli AP dapat mengadakan satu bisnes yang besar dalam bidang penjualan kereta bahkan pemasangan kereta pun menjadi satu syarikat yang besar yang terdiri daripada bumiputera orang Melayu juga.

Bezanya ialah mereka tidak menjual AP, mereka membeli AP dan oleh itu mereka berjaya, bermakna bahawa kalau kita gunakan AP itu dengan baik kita boleh berjaya tetapi jika kita ingin mendapat keuntungan yang cepat, kekayaan yang cepat kita boleh jual AP akhirnya duit yang kita dapat itu, guna untuk belanja bukan dilabur, tetapi dibelanjakan dan akhirnya kita menjadi papa kedana seperti dahulu juga. Siapa yang salah?

Mungkin kerajaan yang salah, kerana memberi AP kepada kroninya yang berjaya, ini kerana dia kroni, bukan kerana dia berusaha. Itu tuduhan yang dilemparkan terhadap pelaksanaan dasar ekonomi baru, bahawa yang lain juga dapat AP dan tidak berniaga sebaliknya menjual AP gagal.

Memanglah kalau dapat AP apa salahnya kalau kita jual AP dengan harga RM8,000 sebuah? Jadi kaya tapi tak lama. Demikian juga dengan kontrak-kontrak apabila kita memberi kontrak kepada bumiputera dan Melayu mereka menjual kontrak.

Dengan cara yang mudah mendapat kontrak , menjual kontrak, menjadi kaya, tetapi tak kaya lama. Untuk menentukan bahawa kontrak didapati oleh orang bumiputera, Melayu, mengikut dasar ekonomi baru, kita telah beri kontrak umpamanya untuk mendirikan komputer lab, laboratory untuk komputer, dengan banyaknya diagihkan kepada kontraktor-kontraktor Melayu dan bumiputera tetapi sekali lagi mereka menjual kontrak.

Yang dapat menjual kepada yang nombor dua, nombor dua dapat jual kepada nombor tiga, nombor tiga dapat kepada nombor empat , nombor lima. Akhirnya kerana membeli kontrak itu dengan harga yang tinggi maka keuntungan tidak boleh meningkat untuk menampung harga yang tinggi yang dibeli, diguna untuk membeli kontrak.

Akhirnya untuk mendapat keuntungan mereka mendirikan laboratory ini dengan bahan-bahan yang tidak baik. Sebelum kita dapat menggunakan laboratory ini, laboratory ini sudah runtuh tak boleh diguna sama sekali. Ini pengalaman saya mungkin orang lain tidak tahu.

Saya sedih dan dukacita kerana ramai yang dapat kontrak mendirikan laboratory komputer ini tidak berjaya, sedangkan peluang diberi kepada ramai. Ini jugalah kesalahan kerajaan, kalau kita bahagi kepada orang yang mampu dan dia berjaya itu kronisme.

Kalau kita bagi kepada semua orang yang tak mampu, kerana kita ingin adil kepada semua dan mereka tidak berjaya maka usaha kita untuk menjayakan dasar ekonomi baru itu gagal. Ini semua berlaku, bukan cerita dongeng, tetap ia berlaku dan kerana ia berlaku dengan meluasnya maka dasar ekonomi baru tidak mencapai matlamatnya seperti yang dijangka di waktu ia diadakan, dicipta.

Kita telah berusaha sedaya-upaya untuk mencari peluang lagi banyak kepada bumiputera tetapi kita dapati bahawa tabiat nak dapat kekayaan cepat ini menyebabkan mereka tidak berjaya. Kita lihat semasa kita melaksanakan dasar ekonomi baru, bukan bumiputera yang berjaya. Yang berjaya adalah bukan bumiputera.

Perlu fahamlah apa yang saya kata, bandar KL semakin besar tersergam indah dengan bangunan pencakar langit yang didiri dengan batu marmar, granite dan sebagainya. Ini semua berlaku di zaman dasar ekonomi baharu, yang dicipta untuk menjayakan orang Melayu, bumiputera tetapi yang berjaya bukan orang Melayu dan bukan bumiputera. Kerana apa?

Kerana mereka menggunakan peluang apabila dapat membeli kontrak AP dan sebagainya daripada orang Melayu. Mereka gunakan peluang itu untuk berniaga mendapat keuntungan dan membesarkan syarikat-syarikat mereka sehingga mereka menjadi millionaire, billionaire.

Mereka mendirikan bandar KL dan bandar-bandar yang lain. Kita mungkin anggap ini adalah perkara biasa. Dalam negara kita tetaplah bandar bukan kita punya. Kita adalah orang di luar bandar. Perkara awal pun menyebut keadaan awal di luar bandar, seolah-olah kita sudah terima bahawa di negara kita ini kita tidak ada tempat di dalam bandar.

Kita terima ini dengan senang hati, kita berundur. Dalam bandar terdapat peniaga yang kaya-raya kerana perniagaan sahaja yang boleh memberi kekayaan kepada seseorang. Menjadi kerani, menjadi pegawai tak mungkin memperkayakan diri kita melainkan kalau kita curi duit.

Kita tak berniaga, orang lain berniaga, makanya peluang yang diberi kepada kita dan mereka berjaya mereka menjadi lebih kaya. Membangunkan dengan lebih banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang mewah-mewah belaka tetapi kita tidak ada dalam situ.

Kita tidak ada kerana kita tidak mampu berniaga kerana sudah jual peluang, sudah jual kontrak kepada orang lain dan orang inilah yang kaya. Maka kita lihat sekarang ini bandar-bandar di Malaysia sudah membesar, bandar sudah membesar. Bagaimanakah bandar boleh membesar?

Kita percaya sudah ada kajian yang dibuat menunjukkan kemiskinan di Malaysia ini sudah dikurangkan daripada 55 peratus kepada lima peratus, kepada satu peratus sahaja yang miskin.

Tetapi kalau kita tidak mengikuti angka yang diperkenalkan mengikut statistik yang dikutip oleh pakar yang boleh kita buat ukuran berjaya ataupun tidaknya usaha kita adalah dengan melihat dengan mata kita sendiri.

Kita lihat bandar semakin besar dengan menelan kawasan luar bandar bahkan kawasan di luar bandar jauh dari bandar. Apa yang berlaku sekarang ini ialah kemiskinan, mereka yang berada di luar bandar yang ditakrif sebagai miskin terpaksa menjual tanah mereka.

Mereka tidak ingin jual tetapi apa perlu dibuat, tawaran terlalu menarik, harga dinaikkan sehingga kita tidak dapat tahan hati lagi. Maka kita pun jual tanah kita, supaya bandar dapat dibesarkan, kemudian itu apabila bandar itu besar sampai kepada tempat kita, kita buat rumah buruk kita.

Di luar bandar jauh daripada bandar, sekali lagi kita ditawar dengan harga yang tinggi untuk tanah kita, dan harga ini tidak dapat ditolak oleh kita, maka kita jual sekali lagi supaya bandar dapat dibesarkan dan kita lari jauh dari bandar.

Inilah yang sedang berlaku sekarang ini. Kenapa? Kerana kita tidak cuba masuk dalam bidang perniagaan dan perusahaan, dan dapat memperkayakan diri dan mengekalkan pemilikan tanah oleh kita. Sekarang kita lihat banyak kampung orang Melayu KL ini sudah tidak, ada bertukar nama, mempunyai bangunan pencakar langit itu tetapi dalam bangunan pencakar langit itu bukan kita yang guna, bukan kita yang tinggal di situ atau bekerja disitu. Kenapa?

Kerana kita miskin, miskin mungkin kerana dasar ekonomi baru itu tidak berjaya. Apabila kita miskin, kita mudah terdedah tekanan kepada mereka yang kaya, dan kita akan menjual warisan kita. Tanah kita milik kita, sehingga akhirnya kita akan tinggal di pinggir-pinggir hutan.


Bandar bukan kita punya, luar bandar pun terdedah kepada orang yang kaya lebih dari kita. Kalau kita tidak berusaha, tidak tukar cara kita mencapai kejayaan, maka lama-kelamaaan negara kita ini akan memperlihatkan kelainan daripada negara-negara lain, yang mana bandar dimiliki oleh satu kaum, luar bandar dimiliki oleh kaum yang lain.

Ini tidak mengapa, kerana ramai yang daripada kita menerimanya tetapi kita harus ingat bahawa yang miskin mestilah tunduk kepada yang kaya, nak tak nak, tidak guna kita panggil diri kita tuan. Kita berbangga kerana kita adalah tuan. Kalau kita bawa jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang mengarah kita ke mana-mana, apakah kita tuan?

Kadang-kadang kita terpaksa cuci kasut orang, orang yang mempunyai kasut itu tuan, ataupun kita tuan? Tak gunalah laung Ketuanan Melayu. Ketuanan jadi kuli orang bukan tuan. Kita akan merosot lagi, proses ini akan berterusan melainkan kita cuba cari jalan supaya kita juga mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Saya bernasib baik berpeluang melihat banyak bangsa, banyak negara di dunia ini, dan saya perhatikan bahawa bangsa yang maju itu bukan kerana warna kulitnya, ataupun mereka tinggal di kawasan yang lebih sejuk daripada tropika.

Bangsa yang maju itu, maju kerana budaya mereka, pegangan mereka kepada nilai hidup yang membina. Kita perlu ubah nilai hidup kita, supaya kita mempunyai dan mengamalkan nilai hidup yang boleh memberi kejayaan kepada kita.

Antaranya ialah rajin berusaha. Apabila kita mendapat peluang kita guna peluang itu , jangan jual peluang, walaupun ia boleh dapat wang yang cepat. Tetapi kalau kita jual peluang kita, yang kaya adalah orang lain bukan kita.

Tabiat ini mesti dihapuskan. Kita mesti sanggup apabila dapat peluang mengguna peluang itu habis-habisan. Kalau dapat biasiswa belajar betul-betul, kalau dapat kontrak usahakan kontrak itu sendiri. Kalau dapat AP meniaga bidang kereta sendir.

Mereka yang berniaga menggunakan AP sudah mencapai kejayaan tapi mereka yang menjual AP hari ini tidak kaya lebih daripada dahulu bahkan mereka miskin dan sepanjang masa meminta-minta lagi. Saya sebut perkara ini kerana saya perhatikan seperti yang saya katakan kejayaan dan kegagalan berbagai bangsa.

Ada bangsa yang berjaya walaupun negara mereka dimusnah oleh perang, tapi mereka dapat pulihkan negara mereka dan menjadi kuasa ekonomi dunia kedua yang tertinggi tetapi ada bangsa walaupun menang tetapi kerana tidak ada kualiti yang terbaik kepada mereka.

Mereka akan gagal tidak dapat pulihkan keadaan bahkan menjadi merosot lebih daripada dahulu. Pendapat saya walaupun sudah jemu orang mendengar saya masih berpendapat bahawa bukan kerana bangsa kita bahawa kita bumiputera, bahawa kita Melayu maka kita gagal. Bukan kerana bangsa tetapi kerana budaya kita, pegangan kita kepada nilai murni hidup yang tidak boleh memberi kejayaan kepada kita.

Selagi kita teruskan dengan cara ini selagi itulah, kita akan gagal lebih-lebih lagi kita akan diperkenalkan dengan cara mudah untuk kaya..kerajaan mengumpul wang dan bagi percuma kepada kita, BR1M , upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan, dan sebagainya.

Semua ini melemahkan kita kerana tidak perlu lagi berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya , sebaliknya kita menunggu-nunggu wang itu datang melayang bergolek kepada kita. Manusia kalau dia tidak berusaha maka dia akan merosot kebolehannya.

Kita tahu kalau kita tak berjalan lama-lama kaki kita akan jadi lembik, otot-otot kita akan menjadi lemah, dan kita tidak akan dapat berjalan. Kalau kita tak guna macam kita tidur sepanjang masa bila kita bangun nak berdiri pun tak boleh sebab kita tak guna otot-otot kita untuk berdiri.

Tetapi kalau kita selalunya mengguna tubuh badan kita maka kita akan tegap dan sihat, demikian juga dengan otak kita, kalau kita tak guna otak kita untuk mempelajari sesuatu , untuk baca untuk menulis, untuk menyelesaikan masalah maka dia akan jadi lemah dan tidak berupaya menggunakan akal fikiran untuk melawan nafsu umpamanya.


Sebab itu adalah amat penting untuk mencapai kejayaan kita tak usaha setakat banyak doa sahaja ataupun sembahyang hajat. ini perlu kita buat tetapi ia mestilah disusuli dengan usaha kita sendiri mengatasi segala kelemahan yang ada pada kita dan mengamal nilai hidup yang tetap akan memberi kejayaan kepada kita.

Janganlah jual peluang yang diberi, janganlah jual AP, jangan jual kontrak. Kita berharap kerajaan yang baru ditubuh ini akan menolong kita tetapi pertolongan tidak akan diberi kepada mereka yang mencari kekayaan yang cepat.

Kalau seseorang itu mendapat kontrak maka dialah yang akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual ataupun dipindah kepada orang lain maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf, kalau tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu jangan cuba mendapat kontrak kalau kita tidak boleh.

Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan


Tuan-tuan dan puan-puan, saya tidak ada berita gembira untuk disampaikan. Seperti biasa saya menegur, saya marah, saya berleter, semua lagi saya buat selama 22 tahun jadi perdana menteri. Itulah sahaja yang tahu saya sampaikan kepada bumiputera tetapi nampaknya kesannya amat sedikit ,

Kalau kita balik-balik menunggu-nunggu untuk kekayaan datang melayang datang bergolek kepada kita, tunggulah, tak akan ada yang datang melayang. Yang akan datang kepada kita adalah hasil usaha kita, kebetulan kita, amanah kita, kerajinan kita.

Ini yang memberi kejayaan. Selagi kita cari jalan yang mudah kita akan gagal, saya harap kongres ini serius dalam usaha untuk memperbaiki nasib bumiputera, orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melaksanakan keputusan yang baik jika ada. Kalau ia terhad kepada meminta-minta saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa. Bagi kita bukan berada di sini untuk menganiayai kaum bangsa kita sendiri, itulah harapan kita. - Bernama

sinarharian
Continue Reading...

Sunday, September 2, 2018

mahu apa lagi?

No comments:
APAKAH YANG MEREKA MAHUKAN?

selepas PH menggenapkan 100 hari pentadbirannya setelah mengambilalih kuasa kerajaan DS najib razak, Mulalah ulat ulat tanah kepanasan keluar meratap bumi, mula muncul pelbagai saka belaan, dengan pelbagai bentuk makrifat dan tunjung dari ufuk timur barat laut dan gunung ganang kerana berkinjaan dengan lumrah alam.


Tiada yang betulnya Kerajaan Pakatan Harapan pada mereka, jika Menteri hari ini menghulur madu untuk diminum kepada mereka, tetap dikatanya madu itu racun. Walau diberikan sebentuk cincin emas sekalipun, juga di kata cincin itu batu.

Dari seribu bertih jagung, tetap ada bijinya yang tertinggal, sama seperti mereka ini, tidak ada apa sedikit kebaikan pun yang dihargai oleh mereka kepada kerajaan hari ini, apa yang dilihat adalah kuman yang ada di seberang dari gajah yang tertonggol di depan mata, apa yang kerajaan buat tidak kena, jadi apa yang kena?

Pelbagai hinaan yang dilontarkan, atok tua, mendoakan kematian, mengkafirkan orang, malah membuat provokasi umum dan menimbulkan fahaman rasis kepada satu-satu kaum hingga timbul dendam dan merenggangkan fahaman anutan sesuatu agama yang berbeza.

Fitnah sudah menjadi amalan dan sebati pada mereka, berita palsu dan berita sekerat-sekerat jalan, tanpa usul periksa, dan diviralkan, makanya dari itu pula, mana-mana yang di atas pagar menyambung viral kepalsuan ini, mulalah membawang sana sini tapi hakikatnya semua itu PALSU dan dusta.



Selain itu, wujud pula pelbagai pakar dan profesional FB alam maya hingga terlahirnya pakar agama, doktor, peguam, jurutera, hakim, pegawai polis, pegawai SPRM dan penguatkuasa yang TAK DIIKTIRAF di FB.

Tapi sayang, bila dikaji, dibelek, diamati mereka ini golongan Melayu dan Bumiputera, menghabiskan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah, adakah ini yang kita akan warisankan kepada generasi muda akan datang????

Saya terfikir seketika, sebenarnya apakah yang mereka mahukan? semua yang Kerajaan lakukan tidak diterima malah dihina dan caci maki hingga sampai ke tulang hitam. Sedikit silap, di jaja sampai lumat.

Jika beginilah Melayu yang ada, kita bakal membawa fahaman radikal dan eksterimist kepada bangsa kita sendiri, Jika yang hina kutuk tu nak jadi menteri, boleh lah apply direct jumpa TUN, itu kalau beranilah, rasa kalau TUN panggil, jauh sebatu dah terkencing, kerana ORANG KITA HANYA BERANI CAKAP BELAKANG, JUMPA DEPAN SENYUM SAMPAI TELINGA TAK PUN DIPANDANGNYA POKOK.


Sudah sampai masanya kita bantu kerajaan membina Negara bukan bantu menjatuhkan negara Malaysia, tidak kita dapat berasa bangga untuk menyumbangkan sekelumit jasa dari menggunung mencari dosa? 'menang jadi arang kalah jadi abu'.

Lihat cermin, tengok siapa kita? Muhasabbah lah diri dahulu sebelum bercakap hal orang lain.

Source:

DS Radin El Bakrie
Majlis Sekretariat TERAS BERSATU Malaysia Baharu

#TERAS
#PH
#MalaysiaBaharu

fbteras
Continue Reading...

Saturday, September 1, 2018

agenda bumiputera

No comments:

Agenda bumiputera bukan bersifat populis lagi
Najib Aroff, Astro Awani
1 September 2018 



MAHATHIR: Kita berharap kerajaan baharu akan bantu bumiputera.


KUALA LUMPUR: “Cukuplah, jangan jual peluang yang diberi kerajaan terhadap bumiputera dalam bentuk kontrak mahupun Permit Kelulusan (AP),” itu antara ayat penutup Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Malah Perdana Menteri tegas mengatakan kerajaan baharu akan membatalkan kontrak yang diberikan sekiranya individu yang menerima kontrak tersebut menjual kepada pihak lain.

“Kita berharap kerajaan baharu akan bantu bumiputera tetapi jika kita beri (kontrak dan AP) kepada mereka, mereka jual (kepada pihak lain).

“Jika ia diberi kepada mereka, mereka harus laksanakan. Jika mereka menjual (kontrak), maka ia akan terbatal. Minta maaf. Jika tidak ada kemampuan (kekangan kewangan) jangan meminta kontrak.

“Jika kerajaan sedia ada akan dikalahkan kerana permintaan mereka tidak ditunaikan, tidak mengapa. Kita di sini bukan untuk aniaya bumiputera,” kata Dr Mahathir sambil disambut tepukan hadirin.

astroawani



Kontrak kerajaan diberi kepada syarikat Bumiputera akan terbatal jika dijual - Tun M
01 September 2018


Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan tetamu yang hadir dalam Kongres Masa Depan Bumiputera 2018, selepas beliau merasmikannya bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini. GAMBAR : AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR - Kontrak kerajaan yang diperoleh syarikat Bumiputera akan terbatal sekiranya ia dijual atau dipindahkan kepada pihak lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberi pertolongan kepada syarikat Bumiputera yang hanya mahu mencari kekayaan dengan cepat tanpa berusaha melaksanakan kontrak yang diperoleh.

"Kalau seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf.

"Kalau kita tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak. Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan mendepani cabaran bumiputera dalam Malaysia baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta lebih 2,500 peserta kongres.

Mahathir berkata kerajaan PH juga akan memperketat amalan tidak baik yang dilakukan pihak tertentu untuk memperoleh keuntungan dengan segera, termasuk berhubung penjualan Permit Import (AP).

Menyatakan tidak ada berita gembira untuk disampaikan pada kongres itu, Dr Mahathir sebaliknya berkata akan berleter dan terus menegur orang Melayu dan Bumiputera supaya menukar budaya serta nilai hidup dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib sendiri.

Katanya tabiat ingin kaya dengan cepat dan mengharapkan bantuan kerajaan tidak akan membawa kejayaan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

"Selagi kita teruskan dengan cara begini, selagi itulah kita akan gagal, lebih-lebih lagi apabila kita diperkenalkan dengan cara mudah untuk kaya. Kerajaan mengumpul wang dan bagi percuma kepada kita seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan.

"Semua ini melemahkan kita kerana kita tidak lagi perlu berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya, sebaliknya kita menunggu wang datang melayang dan bergolek kepada kita," katanya. - Bernama

kosmo 



Kerajaan jamin tak aniaya bumiputera
Muhammad Shamsul Abd Ghani
1 September 2018


Dr Mahathir Mohamad (kiri) menjawab pertanyaan ketika sesi dialog bersama Moderator yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan bumiputera.

Malah katanya, kerajaan memberi sepenuh jaminan bahawa tidak akan menganiaya bumiputera dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa mendatang.

Untuk itu katanya, Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018) yang diadakan hari ini dapat membantu kerajaan dalam memperkasakan agenda bumiputera.

"Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum dan bangsa kita sendiri.

"Saya harap kongres ini serius dalam usaha memperbaiki nasib bumiputera dan orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melakukan keputusan yang baik jika ada.

“Kalau ia terhad kepada meminta-minta, saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

sinarharian






Continue Reading...

Friday, August 31, 2018

kemerdekaan kedua

No comments:



Perutusan PM sempena Hari Kebangsaan 2018

BERNAMA

Berikut ialah teks penuh perutusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018:


“Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.

1. Buat ke sekian kalinya, kita menyambut Hari Kebangsaan. Secara rasminya, ia adalah Hari Kebangsaan kita kali yang ke-61 mengikut kiraan hari pengumuman kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

2. Banyak peristiwa yang telah dilalui oleh Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya Malaysia sejak mencapai kemerdekaan dari jajahan British kepada sebuah Negara berdaulat dan bebas melakar halatujunya mengikut acuannya sendiri.

3. Mulai dari hari itu tugas yang digalas oleh Kerajaan dan juga rakyat ialah mengisi kemerdekaan tersebut.

4. Cabaran yang dihadapi bukan sedikit. Sebagai sebuah negara yang baru merdeka, semuanya terpaksa dilakukan dari awal ataupun “starting from scratch.”

5. Ia bukan sesuatu yang mudah – hampir semua lapangan, pengalaman dan kepakaran dimiliki oleh pentadbir-pentadbir dan cerdik pandai penjajah dan amat sedikit dari kalangan anak bangsa yang mampu mengambil-alih sepenuhnya tanggungjawab itu.

6. Malahan sebahagian dari sistem pentadbiran dan perundangan yang ditinggalkan agak sukar untuk dilaksanakan kerana ianya direka bersesuaian dengan keperluan mereka sebagai penjajah. Penduduk tempatan tidak dapati sesuai untuk diterima sepenuhnya.

7. Namun kita boleh bersyukur jika dibanding dengan negara lain yang terpaksa hadapi keadaan yang lebih teruk kerana penjajah meninggalkan negara-negara itu dalam keadaan kucar-kacir, tanpa pentadbir yang terlatih atau perundangan yang sesuai untuk dilaksana.

8. Negara kita bernasib baik kerana kebijaksanaan kepimpinan Negara pada masa itu yang berjaya mendapatkan kemerdekaan menerusi perundingan dan bukan pemberontakan dan tumpah darah. Dengan ini bekas penjajah dapat membantu di dalam keselamatan, pentadbiran dan perancangan masa depan Negara.

9. Bantuan mereka bukanlah semata-mata kerana perasaan bertanggungjawab. Ia juga kerana keperluan kestabilan dan keamanan supaya pelaburan mereka dalam perladangan dan perlombongan terselamat.

10. Persekutuan Tanah Melayu ataupun Federation of Malaya yang menggantikan Malayan Union memang kaya dari segi hasil buminya. Kekayaan ini menyumbang banyak kepada kemajuan penjajah.

11. Dalam konteks ini, kemerdekaan yang dicapai cuma akan bermakna hanya apabila kita berjaya menghakis genggaman neokolonialisme atau penjajahan ekonomi yang mencemar kemerdekaan kita.

Dengan usaha yang gigih kita berjaya memajukan negara sehingga kita dapat tebus balik kekayaan kita. Satu daripada usaha kita ialah dengan mengadakan ‘ Dawn Raid’ untuk membeli secara halal ladang Guthrie kita. Tetapi kita dituduh merampas atau nationalise.

12. Namun demikian kita masih sanggup menerima pelaburan asing (FDI) termasuk dari negara penjajah juga. Tetapi mereka tidak dibenar campur tangan dalam politik dan pentadbiran negara. Kemerdekaan kita tetap dipelihara.

13. Kemudian Persekutuan Tanah Melayu beralih menjadi Malaysia. Kesanggupan orang Melayu bertolak ansur tidak dapat dipertikai atau ditandingi oleh sesiapa.

14. Walaupun Malaysia mempunyai lebih banyak bangsa dan suku kaum, tetapi ianya tetap aman dan stabil dan membangun dengan pesatnya sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Sesungguhnya kemampuan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 tetap ada.

15. Tetapi malangnya pertukaran pemerintahan membawa perubahan dasar dan pendekatan. Sistem demokrasi dan pentadbiran mengikut undang-undang digugur dan diganti dengan cara-cara lain. Hasilnya ialah Wawasan 2020 menjadi impian kosong.

16. Demikianlah kerosakan dan tekanan yang dirasai oleh rakyat sehingga mereka berasa seolah-olah mencapai kemerdekaan sekali lagi apabila PRU 14 menghasilkan perubahan pemerintahan.

17. Ya, rakyat mencapai kejayaan hasil pendirian tegas mereka. Tetapi nikmat tidak datang melayang kerana kemenangan dicapai. Tindakan terhadap penjenayah juga tidak dapat dilakukan dengan serta merta.

18. Seperti kita tidak suka kepada cara-cara pentadbiran dahulu begitu juga kita tidak boleh amalkan cara yang kita benci dahulu. Pentadbiran mengikut undang-undang memerlukan masa untuk dilaksanakan. Tetapi percayalah akhirnya penjenayah akan meraih hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.

19. Sementara itu rakyat dan Kerajaan perlu berganding bahu untuk memulih semula negara. Tugas kita memang berat. Tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang gandingan rakyat dengan pemerintah.

20. Kita sudah lihat bagaimana negara yang telah kalah dan hancur dalam peperangan dapat memulihkan negara sehingga dalam masa yang singkat dapat kembali maju kerana semangat dan usaha oleh rakyat dan pemerintah.

21. Kita juga mampu. Kita juga boleh pulih semula negara kita Malaysia.

22. Kerajaan boleh tadbir dengan baik, berjimat cermat, berdisiplin dan mengawal nafsu. Ini sedang dilakukan. Walaupun masih sedikit tetapi pencapaian dalam mengurangkan hutang sudah ternampak. Kerosakan jentera pentadbiran telah dapat dipulih semula. InsyaAllah dengan tindakan yang sedang dan akan diambil, negara akan sihat semula.

23. Tetapi rakyat juga perlu memain peranan. Jikalau Kerajaan tidak mampu hulur wang seperti dahulu, sebabnya ialah pembaziran seperti dahulu akan jejaskan proses pemulihan. Lagipun Kerajaan ini tidak mencuri wang rakyat untuk diberi kepada rakyat sebahagian dari hasil pencurian.

24. Cara sebegitu bukanlah cara yang terbaik. Kerajaan ini akan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Dengan cara ini pendapatan yang diperolehi lebih memuaskan. Ia adalah hasil titik peluh sendiri dan sudah tentu ia halal.

25. Untuk ini Kerajaan akan memberi pelajaran dan latihan serta juga biasiswa. Kepakaran pekerja akan ditingkatkan supaya pendapatan akan bertambah.

26. Kita akan naikkan upah mengikut kemampuan. Tetapi yang perlu diingati ialah kenaikan upah tidak bermakna jika kos sara hidup naik bersama.

27. Untuk menentukan kenaikan upah menambah daya beli, produktiviti perlu ditingkatkan melalui cara pengurusan yang lebih cekap, peningkatan kecekapan pekerja, penggunaan mesin, robotik dan otomasi dan tambahan pelaburan oleh majikan. Kerajaan akan beri insentif dan hadiah kepada mereka yang berjaya meningkatkan produktiviti dengan kos yang terendah. Kenaikan harga hasil perusahaan hendaklah dikawal.

28. Tetapi sepanjang masa Kerajaan akan bantu rakyat yang benar miskin ataupun kurang upaya. Mereka akan dibantu lebih baik dari BR1M umpamanya. Memberi RM500 atau RM1,200 setahun tidak mencukupi untuk hidup sempurna. Ya. BRIM akan dikurangkan beransur-ansur tetapi yang daif dan tidak bekerja ataupun tidak dapat bekerja akan dibantu secara lebih bermakna.

29. Kita rayakan Hari Kebangsaan kali ini dengan perasaan lega dan selesa. Sesungguhnya ini adalah Kemerdekaan kedua bagi kita. Kita sudah bebas daripada belenggu pemerintahan kejam. Hidup kita lebih selesa. Kerajaan PH ini akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bangsa atau agama.

30. Sesuai dengan pencapaian dan perasaan yang kita lalui dan kongsi bersama, tema Hari Kebangsaan tahun ini ialah “Sayangi Malaysiaku.”

31. Adalah diharap agar perasaan ini kekal dihati kita semua. Saya yakin, selagi perasaan ini ada bersama kita semua, apa saja perbezaan, percanggahan dan rasa sangsi yang timbul, Malaysia akan tetap utuh dan maju.

32. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Semoga harapan kita agar Malaysia terus maju, aman dan saksama akan kekal selamanya. Sayangilah Malaysiaku ini. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.”

Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Malaysia

mymetro
Continue Reading...

Himpunan atau Sandiwara Rakyat

No comments:


Himpunan atau Sandiwara Rakyat

Sesudah 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan. Sesudah PAS memberi gred D kepada kerajaan Pakatan Harapan.  Maka diadakan perhimpunan di bumi Kelantan. Tidak pasti kenapa memilih Kelantan? Mungkin kerana berharap penyokong PAS berpusu-pusu datang.




 Kembali pula kepada PAS barangkalai mereka lupa ada dua buah negeri dalam tangan mereka iaitu Kelantan dan Terengganu. Merekapun tertakluk dengan merit demerit 100 hari ini. Kalau dicungkil entah Gred berapa yang dapat.... Tak payah susah-usah kerana kerajaan yang mentadbir terutama Pakatan Harapan dalam bergerak ke hadapan. Dikatakan lemah 100 hari pertama mungkin akan berubah 100 hari berikutnya. Begitu juga kerajaan PAS boleh bertahan lamakah dalam 100 hari berikutnya???  Mulut jangan besar cakap kalau hati sebesar kelingking...

UMNO dengan segala macam rencah biasanya mengadakan himpunan rakyat di YKK Melor Kelantan. Mungkin di negeri naungan YB Ketereh sebagai SU Agung UMNO dibuatlah himpunan. Lama memerhati ramai muka-muka lama UMNO dan ada juga muka baru. Lama dok perhati lagi, tak dok pulak penyokong PAS. Eh apa dah jadi? Kata udah sehati sejiwa...

UMNO selalu terbawa mimpi...

Himpunan Rakyat 100 Hari Janji Tinggal Janji di Kompleks YKK, Padang Kala, Ketereh. Itulah bunyinya masjlis itu. Hadir dan berucap adalah YB Datuk Ahmad Jazlan, Ketua Perhubungan, YB Senator Datin Rahimah Muhammad Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Malaysia YB Senator Datuk Ashraf Wajdi Dasuki.

Bercakaplah mereka tentang lemah dan longlainya kerajaan Pakatan Harapan dalam 100 hari. Tetapi mereka semua lupa akan harapan dan  keinginan besar rakyat adalah untuk melihat perubahan dalam UMNO. Mana langkah pembaharuan? Mana langkah kebaikan??? Mana pelan kemajuan 100 hari kalah??? Mana post mortem yang boleh dijadikan kebangkitan????

UMNO selalu syok sendiri ....

Sepatutnya di perhimpunan inilah mereka mula menyelongkar kelemahan dan keegoan yang memporak porandakan UMNO. Sepatutnya masa ini barisan muda UMNO bangkit membawa obor kesedaran bahawa peembaharuan dalam UMNO  harus berlaku. UMNO harus adalah pelan strategik yang boleh digunakan dalam jangka 100 hari akan datang. Tapi semua sia-sia. Seronok bercakap hal kelemahan orang lain tapi kelemahan sendiri tak dibaiki

UMNO selalu salah jangka.....

Himpunan mungkin hanya sandiwara, Untuk menunjukkan aku masih ada maka dibuat perhimpunan besar-besar. Yang sedap adalah kutuk PH kerana amat tak sedap dengar kelemahan sendiri. Bahawa dengan mengutuk begitu mereka fikir rakyat akan buat U-turn? Rakyat terlalu bijak memilih. Kalau tak bijak mereka tak akan korbankan status quo. Mereka menolak segala kemanisan yang lapuk dan bersedia untuk jatuh bangun bersama Pakatan Harapan. Apa lagi cari UMNO mahu guna sesudah kata No diberikan.

Rakyat menilai dengan teliti
Pakatan Harapan pastinya akan mencari langkah terbaik 100 hari berikutnya
PAS akan selalu mencari peluang
UMNO akan terus merintih...

Begitulah politik negaraku


Continue Reading...

Sunday, August 26, 2018

Saturday, August 25, 2018

TERAS BERSATU MALAYSIA BAHARU

No comments:
TERAS BERSATU MALAYSIA BAHARU (TERAS)



TERAS BERSATU Malaysia Baharu merupakan satu inisiatif sukarela yang dibentuk menjadi penggerak bebas atau neutral body yang bertindak sebagai pemikir, pemudah cara, penggerak dan pelaksana secara professional dari pelbagai bidang dalam usaha membantu Kerajaan Malaysia Baharu dengan peranan sebagai badan check and balance pada kerajaan pimpinan Malaysia Baharu. Ianya sebuah badan bebas yang tidak terikat dari mana-mana individu, badan politik atau pihak berkepentingan peribadi dan penyertaannya terdiri dari pakar-pakar atau individu yang berpengalaman sebagai pemikir yang akan membantu dan menyokong Perdana Menteri dan kepimpinan negara semasa.

TERAS juga bukanlah pencatur atau kelab-kelab media sosial namun penubuhannya adalah untuk menjadi platform atau jambatan masyarakat di peringkat akar umbi dan pemimpin di peringkat nasional. TERAS tidak menjadi pesaingan kepada blogger atau pengamal media sosial Pakatan Harapan tetapi TERAS mengamalkan prinsip terbuka kepada semua pihak yang menyokong Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan.

Skop prospektif TERAS adalah meluas untuk rakyat dan pemimpin dimana TERAS memegang prinsip DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT dan sentiasa kehadapan dalam membantu Kerajaan Pakatan Harapan memacu Malaysia Baharu, sudahnya Rakyat akan menerima kemanisan itu bersama-sama.

Sebagai badan Check and Balance, barisan peneraju TERAS akan menegur dan menasihati pemimpin kerajaan sekiranya terdapat perkara-perkara yang tersasar dari kehendak rakyat dengan teguran secara professional dan berhemah.

TERAS akan terus berusaha untuk menyokong rakyat Malaysia dan Kerajaan Pakatan Harapan dengan melahirkan ramai pemikir dan penggerak negara bukan sahaja dalam bidang-bidang tertentu malahan membimbing rakyat menjadi pemimpin, usahawan muda, tenaga professional, ahli-ahli politik muda yang berjaya dan pengamal media social yang berketrampilan dan mempunyai jati diri yang tinggi.

TERAS tidak bergantung harap kepada Kerajaan untuk menampung keperluan kewangan atau financial funding kerana TERAS bergerak menggunakan sumber pendapatan sendiri secara sukarela dan mempunyai kreativiti dalam menjana pendapatan bagi keperluan TERAS. Matlamat TERAS adalah untuk melahirkan kepimpinan yang berpaksi kepada kebenaran, berintegiriti tinggi dan belajar berdiri dengan sendiri.

Tiga TERAS sebagai tunjuk utama iaitu TERAS PENGURUSAN STRATEGIK, TERAS DASAR & PERANCANGAN STRATEGIK dan TERAS PEMBANGUNAN MEDIA SOSIAL.

TERAS PENGURUSAN STRATEGIK memainkan peranan penting dalam menggerakkan hala tuju TERAS BERSATU ini merangkumi hal ehwal pengurusan, perkhidmatan, sumber manusia, korporat, pengurusan protokol dan acara. Penglibatan kewangan dan sumbernya juga memainkan peranan dalam tunjang teras ini.

Teras ini juga mewujudkan Cawangan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai satu identiti khusus yang berfokus kepada negeri berkenaan.

TERAS DASAR & PERANCANGAN STRATEGIK pula merupakan tunjang kepada dasar-dasar negara yang sedia ada, dalam Tunjang ini, Ianya diperincikan dan diolah semula untuk kepentingan rakyat agar ianya tidak tersasar dari hala tuju sesuatu dasar. Tunjang ini juga bertanggungjawab di dalam penyelidikkan, pendokumentasian, perundangan, modal insan, ekonomi dan budaya.

Tunjang kedua ini akan menjadi penyiar berita-berita semasa dan sahih pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan yang akan disiarkan di laman media sosial di bawah pentadbiran TERAS BERSATU.

TERAS MEDIA SOSIAL ditubuhkan berdasarkan peranan Media Sosial adalah penting dalam menerajui Malaysia Baharu. Konsep bebas bersuara yang digunapakai oleh Kerajaan Pakatan Harapan amat bersesuaian kepada generasi muda untuk terus menulis dan menyuarakan pandangan masing-masing di dalam media sosial.

Tunjang ini bertanggungjawab sebagai badan yang menggerakkan hal media sosial terutama menjadi penggerak kepada aktivis media sosial diperingkat bawah dan pertengahan, menjadi jambatan diantara pemimpin negara dan rakyat ke akar umbi, mewujudkan laman muka buku Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Ianya juga akan mentadbir whatsapp group, facebook pages, instagram, twitter, youtube video di bawah naungan TERAS BERSATU.

HARAPAN nya nanti, kesatuan dan kesefahaman dalam satu platform akan lebih menyakinkan dan mampu mengemudi rakyat ke landasan yang benar dan bersasar kepada kehendak rakyat, dalam natijahnya DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT.

*Kekukuhan*Keyakinan*Kebenaran

Sekian,

DSRA
PEMANGKU PENGARAH EKSEKUTIF
MAJLIS SEKRETARIAT
Penggerak TERAS BERSATU Malaysia Baharu

fbteras
Continue Reading...