Saturday, September 1, 2018

agenda bumiputera



Agenda bumiputera bukan bersifat populis lagi
Najib Aroff, Astro Awani
1 September 2018 



MAHATHIR: Kita berharap kerajaan baharu akan bantu bumiputera.


KUALA LUMPUR: “Cukuplah, jangan jual peluang yang diberi kerajaan terhadap bumiputera dalam bentuk kontrak mahupun Permit Kelulusan (AP),” itu antara ayat penutup Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Malah Perdana Menteri tegas mengatakan kerajaan baharu akan membatalkan kontrak yang diberikan sekiranya individu yang menerima kontrak tersebut menjual kepada pihak lain.

“Kita berharap kerajaan baharu akan bantu bumiputera tetapi jika kita beri (kontrak dan AP) kepada mereka, mereka jual (kepada pihak lain).

“Jika ia diberi kepada mereka, mereka harus laksanakan. Jika mereka menjual (kontrak), maka ia akan terbatal. Minta maaf. Jika tidak ada kemampuan (kekangan kewangan) jangan meminta kontrak.

“Jika kerajaan sedia ada akan dikalahkan kerana permintaan mereka tidak ditunaikan, tidak mengapa. Kita di sini bukan untuk aniaya bumiputera,” kata Dr Mahathir sambil disambut tepukan hadirin.

astroawani



Kontrak kerajaan diberi kepada syarikat Bumiputera akan terbatal jika dijual - Tun M
01 September 2018


Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan tetamu yang hadir dalam Kongres Masa Depan Bumiputera 2018, selepas beliau merasmikannya bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini. GAMBAR : AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR - Kontrak kerajaan yang diperoleh syarikat Bumiputera akan terbatal sekiranya ia dijual atau dipindahkan kepada pihak lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberi pertolongan kepada syarikat Bumiputera yang hanya mahu mencari kekayaan dengan cepat tanpa berusaha melaksanakan kontrak yang diperoleh.

"Kalau seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf.

"Kalau kita tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak. Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan mendepani cabaran bumiputera dalam Malaysia baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta lebih 2,500 peserta kongres.

Mahathir berkata kerajaan PH juga akan memperketat amalan tidak baik yang dilakukan pihak tertentu untuk memperoleh keuntungan dengan segera, termasuk berhubung penjualan Permit Import (AP).

Menyatakan tidak ada berita gembira untuk disampaikan pada kongres itu, Dr Mahathir sebaliknya berkata akan berleter dan terus menegur orang Melayu dan Bumiputera supaya menukar budaya serta nilai hidup dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib sendiri.

Katanya tabiat ingin kaya dengan cepat dan mengharapkan bantuan kerajaan tidak akan membawa kejayaan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

"Selagi kita teruskan dengan cara begini, selagi itulah kita akan gagal, lebih-lebih lagi apabila kita diperkenalkan dengan cara mudah untuk kaya. Kerajaan mengumpul wang dan bagi percuma kepada kita seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan.

"Semua ini melemahkan kita kerana kita tidak lagi perlu berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya, sebaliknya kita menunggu wang datang melayang dan bergolek kepada kita," katanya. - Bernama

kosmo 



Kerajaan jamin tak aniaya bumiputera
Muhammad Shamsul Abd Ghani
1 September 2018


Dr Mahathir Mohamad (kiri) menjawab pertanyaan ketika sesi dialog bersama Moderator yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan bumiputera.

Malah katanya, kerajaan memberi sepenuh jaminan bahawa tidak akan menganiaya bumiputera dalam mendepani cabaran ekonomi pada masa mendatang.

Untuk itu katanya, Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara (KBN 2018) yang diadakan hari ini dapat membantu kerajaan dalam memperkasakan agenda bumiputera.

"Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum dan bangsa kita sendiri.

"Saya harap kongres ini serius dalam usaha memperbaiki nasib bumiputera dan orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melakukan keputusan yang baik jika ada.

“Kalau ia terhad kepada meminta-minta, saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

sinarharian






Share this article :

0 comments: