Saturday, September 22, 2018

Kembali ke Putrajaya







KEMBALI KE PUTRAJAYA
Zulkifli Jalil
11 Mei 2018


TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD kembali ke Putrajaya semalam buat kali kedua, sebagai Perdana Menteri ke tujuh dalam usia 93 tahun selepas meninggalkan pusat pentadbiran persekutuan itu dari jawatan Perdana Menteri keempat, 15 tahun lalu.

Kemenangan Pakatan Harapan diterajuinya menamatkan pe­nguasaan maraton Barisan Nasional (BN) menguasai 13 kali pilihan raya umum (PRU), selepas berjaya membentuk kerajaan dengan melepasi majoriti mudah 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei merupakan suatu pencapaian luar dugaan.

Dr. Mahathir dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Pe­rak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi.

Antara pencapaian beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari krisis kewangan Asia 1997 dengan beliau menolak cadangan dan juga bantuan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang beliau sifatkan memburukkan lagi krisis.

Langkah-langkah radikal yang diambil beliau ketika itu dikritik hebat oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri.

Semasa menghadapi krisis kewangan dunia itu, Dr. Mahathir melancarkan beberapa perubahan dalam ekonomi dan asas fiskal negara yang bercanggah dengan timbalan beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau de­ngan berani melupuskan Ringgit Malaysia di luar negara, menjadikan matawang itu tidak sah diperdagangkan.

Ini menyebabkan mata wang ringgit melimpah masuk ke dalam negara. Beliau juga memberikan pengecualian cukai sebagai insentif kepada mereka yang membawa masuk semula wang yang banyak ke dalam negara. Seterusnya menghalang pengaliran modal ke luar negara. Tindakan ini mendapat cemuhan daripada pelbagai kumpulan.

George Soros, raja pelaburan mata wang terkenal telah mempersendakan Dr. Mahathir de­ngan menyatakan tindakan itu mengundang kebinasaan. Sebaliknya Soros terperanjat, bila tindakan Dr. Mahathir yang ‘kejam’ itu mendatangkan hasil kerana Malaysia berjaya mempertahankan kestabilan kewangannya tanpa perlu mengambil pinjaman IMF seperti Thailand dan Indonesia.

Pada masa sama, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isu-isu antarabangsa sehingga ada mencetuskan kontroversi.

Beliau menyokong “Sistem Ekonomi Pasaran” terkawal sebagai alternatif kepada “Sistem Ekonomi Persendirian” dan secara amnya menolak “Pasaran Bebas”.

Gaya pentadbirannya dari 1981 hingga 2003 juga sering dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa.

Antara projek berprofil tinggi (juga digelar ‘projek mega’) yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Bersara pada Oktober 2003, Dr. Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.

Beliau turut dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baharu yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

Tetapi dengan majlis angkat sumpah beliau semalam, menjadikan Dr. Mahathir melepasi rekod Suharto. Jika diukur sumbangan beliau, boleh dikatakan sebagai sebahagian besar pencapaian Malaysia hari ini.

Dan sebelum mengangkat sumpah semalam, beliau memberitahu, Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan akan berusaha mendapatkan Pengampunan Diraja untuk Anwar apabila dibebaskan pada 8 Jun nanti - sebelum Anwar diberi laluan untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan.

utusanonline



K E M P E N 










Share this article :

0 comments: