1 SEPTEMBER 2018
Dr Mahathir berucap pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Berikut merupakan antara petikan ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan “Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Kita lihat pelbagai cara diperkenalkan untuk menjayakan ekonomi bumiputera. Kejayaan ini dicapai kadang-kadang dengan menimbulkan perasan tidak senang di kalangan kaum-kaum yang lain kerana kita memberi keutamaan kepada bumiputera.
Kita sediakan peluang-peluang perniagaan, kita memperkenalkan cara-cara untuk menjayakan syarikat-syarikat bumiputera, kontraktor bumiputera dengan mengadakan satu perkenalan sistem yang baru iaitu dengan ‘direct nego’ ini. Kita perkenalkan ‘direct nego’ ini ramailah bumiputera yang mendapat peluang yang jika tidak mereka tidak akan dapat peluang sama sekali.
Kita juga perkenalkan lebih banyak peluang, lebih banyak lesen, lebih banyak kontrak, lebih banyak AP, dan macam-macam lagi yang diperkenalkan oleh pemerintah pada ketika itu untuk menjayakan dasar ekonomi baru yang berhasrat untuk menjayakan bumiputera.
Satu daripada cara yang diperkenalkan yang tidak kerap disebut kerana ia berjaya iaitu kita telah memberi begitu banyak biasiswa kepada anak-anak Melayu dan bumiputera lain, banyak biasiswa yang kerap kali tidak berasaskan kepada merit.
Kalau kita mengikuti cara merit maka yang mendapat kelulusan yang tertinggi sekali sahaja yang akan dapat biasiswa. Kita percaya bahawa yang dapat tempat nombor dua, nombor tiga, nombor empat, nombor lima juga mempunyai kebolehan.
Sebab itu apabila kita memberi biasiswa, kita tidak beri semata-mata kepada yang nombor satu, tetapi kita beri juga pada nombor dua, tiga , empat dan lima, dan ramailah yang mendapat peluang belajar di universiti dalam negeri dan di luar negeri.
Yang anehnya walaupun mereka bukanlah yang terbaik dalam kelas mereka , darjah mereka, tetapi pencapaian mereka begitu menggalakkan iaitu yang nombor dua, tiga, empat dan lima. Ini juga boleh mencapai kejayaan peperiksaan-peperiksaan di peringkat universiti di dalam negeri dan juga di luar negeri, dan mereka kembali dengan ijazah-ijazah tertinggi.
Demikianlah kejayaannya yang pada mulanya jumlah doktor di Malaysia ini cuma dua peratus sahaja terdiri daripada bumiputera dan Melayu tetapi hasil daripada dasar pemberian kepada yang tidak tertinggi, kelulusan tidak tertinggi ini, jumlah doktor umpamanya sudah meningkat kepada 40 peratus daripada doktor-doktor di Malaysia ini.
Sudah 40 peratus daripada dua peratus tentulah ini merupakan satu kejayaan. Demikianlah pencapaian doktor-doktor ini yang kelulusannya tidak begitu tinggi, sehingga apabila seorang perdana menteri itu dapat sakit jantung dia sanggup serah diri dia kepada orang yang nombor tiga, empat , lima ini.
Alhamdulillah, mereka berjaya, mereka menjadi orang yang terkenal dalam bidang itu , demikian jugak dalam jurusan-jurusan lain kita mempunyai engineer, arkitek dan bermacam lagi hasil daripada pemberian biasiswa bukan semata-mata yang mendapat nombor satu, tetapi juga kepada yang mendapat nombor dua, tiga, empat dan lima, mungkin enam, tujuh, lapan pun ada.
Sebenarnya mereka ini berkebolehan tetapi kalau tidak diberi peluang maka situlah mereka tidak mencapai kejayaan. Kalau kita tumpukan hanya kepada yang nombor satu, yang nombor dua, tiga, empat , lima, enam ini akan jadi kerani seperti di zaman British.
Di zaman British, kita punya niat adalah apabila lepas sekolah nak jadi kerani, itu saja ketinggian besar cita-cita kita, tapi Alhamdulillah hasil dasar daripada ekonomi baru ini kita dapati ramai yang berkebolehan dan kerana mereka diberi peluang, diberi biasiswa, maka mereka mencapai kejayaan yang cukup memuaskan,
Walaupun ada sebahagian yang tidak begitu bersyukur dan menganggap ini satu ketidakadilan kepada orang lain. Mereka menikmati biasiswa dan kejayaan daripada pelajaran mereka sementara mengutuk perbuatan memberi biasiswa kepada orang yang tidak mempunyai merit.
Saya tak nak cakap banyak berkenaan dengan mereka, tetapi saya percaya bahawa mereka yang mendapat peluang luar biasa ini berterima kasih, bersyukur dan biasa juga menyebut terima kasih kerana mendapat peluang. Antara mereka ramai yang berjaya tapi ramai juga yang tidak berjaya,
Tuan-tuan dan puan-puan inilah sebahagian daripada hasil dasar ekonomi baru, ramai yang menafikan bahawa dasar ekonomi yang baru ini memberi peluang hanya kepada kroni kerajaan. Kroni-kroni kerajaan ini kita lihat menjadi millionaire, billionaire dan ini adalah satu kesalahan kenapakah mereka ini memberi peluang hanya kepada kroni-kroni mereka tetapi sebenarnya ramai yang juga dapat peluang tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak berjaya.
Mereka tidak dianggap sebagai kroni, daripada 100 orang yang diberi peluang mungkin hanya empat, lima sahaja yang berjaya, yang berjaya ini akan dikenali oleh kita dan orang lain juga bahawa mereka ini adalah kroni kerajaan, yang gagal tidak jadi kroni kerajaan.
Sebenarnya yang dapat peluang dan yang gagal itu lebih ramai daripada yang berjaya. Kenapakah ada yang berjaya, ada yang tidak berjaya ? Apakah mereka ini tidak menjadi kroni kepada kerajaan? Tetapi mereka juga mendapat peluang walaupun kelulusan mereka tidak begitu baik, mereka juga dapat peluang tetapi mereka tidak berjaya, mungkin dapat kelulusan tetapi dalam usaha-usaha mereka dalam bidang perniagaan dan perusahaan umpamanya mereka tidak berjaya.
Mereka berhutang dengan bank, mempunyai masalah dan ada yang menjadi bankrap. Kerana mereka tidak berjaya, bankrap dan sebagainya maka mereka tidak ditakrif sebagai kroni kerajaan walaupun mereka juga diberi peluang yang sama seperi yang berjaya.
Kita senang hati, untuk menuduhkan bahawa ini disebabkan oleh kronisme, orang lain menuduh dan kita turut menuduh bahawa ini disebabkan kronisme yang memberi pertolongan hanya kepada yang berjaya tetapi sebenarnya semua diberi peluang yang sama.
Ada yang berjaya, ada yang tidak, yang tidak itu lebih ramai daripada yang berjaya kerana melihat yang berjaya ini menjadi millionaire, billionaire dan sebagainya, maka timbul rasa iri hati kepada mereka dan kita juga turut mengecam orang-orang ini sebagai kroni kerajaan dan menuduh kerajaan mengamalkan sistem kronisme.
Sebenarnya jika kita tak nak dituduh sebagai mengamalkan kronisme kita perlu tentukan semua daripada yang mendapat peluang ini akan gagal, tidak ada satupun yang akan berjaya. Apabila mereka gagal maka mereka tidak akan dipanggil sebagai kroni, dan kita juga demikian.
Kita juga turut sama menunjuk perasaan iri hati kita kepada orang yang berjaya , orang yang berjaya ini adalah orang yang berusaha. Ada kita telah memberi banyak AP, AP ini (approve permit), untuk kita dapat masuk dalam bidang automotif kerana terdahulu daripada itu semua agensi kereta dari luar negeri tidak terdiri daripada bumiputera. Mereka (bumiputera) tidak dapat masuk kerana ia ditentukan oleh orang yang tidak terikat dengan dasar ekonomi baru,
Untuk menentukan bahawa bumiputera juga akan dapat peluang memasuki bidang yang baik ini maka kita wujudkan satu lagi cara dengan memberi AP untuk mereka mengimport kereta-kereta terpakai yang sudah diperbaiki supaya mereka boleh jual kereta-kereta yang terpakai ini.
Ini bukan satu perniagaan yang buruk tetapi sepertimana kita tahu ramai yang dapat AP berniaga AP, menjual AP. Inilah yang berlaku kalau tak percaya apa yang saya kata, takpelah. Tapi hakikatnya ialah mereka menjual AP dan mereka menjadi pedagang AP.
AP mereka dapat secara percuma, daripada kerajaan takde modal langsung. Dengan itu ramai yang meminta AP dan dalam masa yang dapat itu juga mereka menjual kepada orang yang menunggu, menjual bukan pada harga yang murah pada masa itu.
Satu AP berharga RM8,000 mereka dapat 10 AP dan dapat RM80,000 sebulan cukup kaya, cukup banyak dengan menjual AP kerana takde modal yang terlibat. Dapat percuma, jual dengan harga yang tinggi dan rasa amat bangga kerana mereka sekarang ini menjadi kaya kerana dasar ekonomi baru, tetapi kita lihat mereka yang jual AP ini tidak kaya selama-lamanya.
Buat sekejap masa mereka mempunyai wang yang banyak, tetapi wang perlu diurus dengan baik. Wang kalau diguna untuk dibelanjakan sahaja tidak akan membuahkan lebih banyak keuntungan yang lain.
Sebaliknya daripada beberapa kerat antara mereka menggunakan AP itu untuk memulakan perniagaan dan hari ini kita lihat sekurang-kurangnya satu daripada orang ini yang bukan sahaja tidak jual AP tetapi membeli AP dapat mengadakan satu bisnes yang besar dalam bidang penjualan kereta bahkan pemasangan kereta pun menjadi satu syarikat yang besar yang terdiri daripada bumiputera orang Melayu juga.
Bezanya ialah mereka tidak menjual AP, mereka membeli AP dan oleh itu mereka berjaya, bermakna bahawa kalau kita gunakan AP itu dengan baik kita boleh berjaya tetapi jika kita ingin mendapat keuntungan yang cepat, kekayaan yang cepat kita boleh jual AP akhirnya duit yang kita dapat itu, guna untuk belanja bukan dilabur, tetapi dibelanjakan dan akhirnya kita menjadi papa kedana seperti dahulu juga. Siapa yang salah?
Mungkin kerajaan yang salah, kerana memberi AP kepada kroninya yang berjaya, ini kerana dia kroni, bukan kerana dia berusaha. Itu tuduhan yang dilemparkan terhadap pelaksanaan dasar ekonomi baru, bahawa yang lain juga dapat AP dan tidak berniaga sebaliknya menjual AP gagal.
Memanglah kalau dapat AP apa salahnya kalau kita jual AP dengan harga RM8,000 sebuah? Jadi kaya tapi tak lama. Demikian juga dengan kontrak-kontrak apabila kita memberi kontrak kepada bumiputera dan Melayu mereka menjual kontrak.
Dengan cara yang mudah mendapat kontrak , menjual kontrak, menjadi kaya, tetapi tak kaya lama. Untuk menentukan bahawa kontrak didapati oleh orang bumiputera, Melayu, mengikut dasar ekonomi baru, kita telah beri kontrak umpamanya untuk mendirikan komputer lab, laboratory untuk komputer, dengan banyaknya diagihkan kepada kontraktor-kontraktor Melayu dan bumiputera tetapi sekali lagi mereka menjual kontrak.
Yang dapat menjual kepada yang nombor dua, nombor dua dapat jual kepada nombor tiga, nombor tiga dapat kepada nombor empat , nombor lima. Akhirnya kerana membeli kontrak itu dengan harga yang tinggi maka keuntungan tidak boleh meningkat untuk menampung harga yang tinggi yang dibeli, diguna untuk membeli kontrak.
Akhirnya untuk mendapat keuntungan mereka mendirikan laboratory ini dengan bahan-bahan yang tidak baik. Sebelum kita dapat menggunakan laboratory ini, laboratory ini sudah runtuh tak boleh diguna sama sekali. Ini pengalaman saya mungkin orang lain tidak tahu.
Saya sedih dan dukacita kerana ramai yang dapat kontrak mendirikan laboratory komputer ini tidak berjaya, sedangkan peluang diberi kepada ramai. Ini jugalah kesalahan kerajaan, kalau kita bahagi kepada orang yang mampu dan dia berjaya itu kronisme.
Kalau kita bagi kepada semua orang yang tak mampu, kerana kita ingin adil kepada semua dan mereka tidak berjaya maka usaha kita untuk menjayakan dasar ekonomi baru itu gagal. Ini semua berlaku, bukan cerita dongeng, tetap ia berlaku dan kerana ia berlaku dengan meluasnya maka dasar ekonomi baru tidak mencapai matlamatnya seperti yang dijangka di waktu ia diadakan, dicipta.
Kita telah berusaha sedaya-upaya untuk mencari peluang lagi banyak kepada bumiputera tetapi kita dapati bahawa tabiat nak dapat kekayaan cepat ini menyebabkan mereka tidak berjaya. Kita lihat semasa kita melaksanakan dasar ekonomi baru, bukan bumiputera yang berjaya. Yang berjaya adalah bukan bumiputera.
Perlu fahamlah apa yang saya kata, bandar KL semakin besar tersergam indah dengan bangunan pencakar langit yang didiri dengan batu marmar, granite dan sebagainya. Ini semua berlaku di zaman dasar ekonomi baharu, yang dicipta untuk menjayakan orang Melayu, bumiputera tetapi yang berjaya bukan orang Melayu dan bukan bumiputera. Kerana apa?
Kerana mereka menggunakan peluang apabila dapat membeli kontrak AP dan sebagainya daripada orang Melayu. Mereka gunakan peluang itu untuk berniaga mendapat keuntungan dan membesarkan syarikat-syarikat mereka sehingga mereka menjadi millionaire, billionaire.
Mereka mendirikan bandar KL dan bandar-bandar yang lain. Kita mungkin anggap ini adalah perkara biasa. Dalam negara kita tetaplah bandar bukan kita punya. Kita adalah orang di luar bandar. Perkara awal pun menyebut keadaan awal di luar bandar, seolah-olah kita sudah terima bahawa di negara kita ini kita tidak ada tempat di dalam bandar.
Kita terima ini dengan senang hati, kita berundur. Dalam bandar terdapat peniaga yang kaya-raya kerana perniagaan sahaja yang boleh memberi kekayaan kepada seseorang. Menjadi kerani, menjadi pegawai tak mungkin memperkayakan diri kita melainkan kalau kita curi duit.
Kita tak berniaga, orang lain berniaga, makanya peluang yang diberi kepada kita dan mereka berjaya mereka menjadi lebih kaya. Membangunkan dengan lebih banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang mewah-mewah belaka tetapi kita tidak ada dalam situ.
Kita tidak ada kerana kita tidak mampu berniaga kerana sudah jual peluang, sudah jual kontrak kepada orang lain dan orang inilah yang kaya. Maka kita lihat sekarang ini bandar-bandar di Malaysia sudah membesar, bandar sudah membesar. Bagaimanakah bandar boleh membesar?
Kita percaya sudah ada kajian yang dibuat menunjukkan kemiskinan di Malaysia ini sudah dikurangkan daripada 55 peratus kepada lima peratus, kepada satu peratus sahaja yang miskin.
Tetapi kalau kita tidak mengikuti angka yang diperkenalkan mengikut statistik yang dikutip oleh pakar yang boleh kita buat ukuran berjaya ataupun tidaknya usaha kita adalah dengan melihat dengan mata kita sendiri.
Kita lihat bandar semakin besar dengan menelan kawasan luar bandar bahkan kawasan di luar bandar jauh dari bandar. Apa yang berlaku sekarang ini ialah kemiskinan, mereka yang berada di luar bandar yang ditakrif sebagai miskin terpaksa menjual tanah mereka.
Mereka tidak ingin jual tetapi apa perlu dibuat, tawaran terlalu menarik, harga dinaikkan sehingga kita tidak dapat tahan hati lagi. Maka kita pun jual tanah kita, supaya bandar dapat dibesarkan, kemudian itu apabila bandar itu besar sampai kepada tempat kita, kita buat rumah buruk kita.
Di luar bandar jauh daripada bandar, sekali lagi kita ditawar dengan harga yang tinggi untuk tanah kita, dan harga ini tidak dapat ditolak oleh kita, maka kita jual sekali lagi supaya bandar dapat dibesarkan dan kita lari jauh dari bandar.
Inilah yang sedang berlaku sekarang ini. Kenapa? Kerana kita tidak cuba masuk dalam bidang perniagaan dan perusahaan, dan dapat memperkayakan diri dan mengekalkan pemilikan tanah oleh kita. Sekarang kita lihat banyak kampung orang Melayu KL ini sudah tidak, ada bertukar nama, mempunyai bangunan pencakar langit itu tetapi dalam bangunan pencakar langit itu bukan kita yang guna, bukan kita yang tinggal di situ atau bekerja disitu. Kenapa?
Kerana kita miskin, miskin mungkin kerana dasar ekonomi baru itu tidak berjaya. Apabila kita miskin, kita mudah terdedah tekanan kepada mereka yang kaya, dan kita akan menjual warisan kita. Tanah kita milik kita, sehingga akhirnya kita akan tinggal di pinggir-pinggir hutan.
Bandar bukan kita punya, luar bandar pun terdedah kepada orang yang kaya lebih dari kita. Kalau kita tidak berusaha, tidak tukar cara kita mencapai kejayaan, maka lama-kelamaaan negara kita ini akan memperlihatkan kelainan daripada negara-negara lain, yang mana bandar dimiliki oleh satu kaum, luar bandar dimiliki oleh kaum yang lain.
Ini tidak mengapa, kerana ramai yang daripada kita menerimanya tetapi kita harus ingat bahawa yang miskin mestilah tunduk kepada yang kaya, nak tak nak, tidak guna kita panggil diri kita tuan. Kita berbangga kerana kita adalah tuan. Kalau kita bawa jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang mengarah kita ke mana-mana, apakah kita tuan?
Kadang-kadang kita terpaksa cuci kasut orang, orang yang mempunyai kasut itu tuan, ataupun kita tuan? Tak gunalah laung Ketuanan Melayu. Ketuanan jadi kuli orang bukan tuan. Kita akan merosot lagi, proses ini akan berterusan melainkan kita cuba cari jalan supaya kita juga mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Saya bernasib baik berpeluang melihat banyak bangsa, banyak negara di dunia ini, dan saya perhatikan bahawa bangsa yang maju itu bukan kerana warna kulitnya, ataupun mereka tinggal di kawasan yang lebih sejuk daripada tropika.
Bangsa yang maju itu, maju kerana budaya mereka, pegangan mereka kepada nilai hidup yang membina. Kita perlu ubah nilai hidup kita, supaya kita mempunyai dan mengamalkan nilai hidup yang boleh memberi kejayaan kepada kita.
Antaranya ialah rajin berusaha. Apabila kita mendapat peluang kita guna peluang itu , jangan jual peluang, walaupun ia boleh dapat wang yang cepat. Tetapi kalau kita jual peluang kita, yang kaya adalah orang lain bukan kita.
Tabiat ini mesti dihapuskan. Kita mesti sanggup apabila dapat peluang mengguna peluang itu habis-habisan. Kalau dapat biasiswa belajar betul-betul, kalau dapat kontrak usahakan kontrak itu sendiri. Kalau dapat AP meniaga bidang kereta sendir.
Mereka yang berniaga menggunakan AP sudah mencapai kejayaan tapi mereka yang menjual AP hari ini tidak kaya lebih daripada dahulu bahkan mereka miskin dan sepanjang masa meminta-minta lagi. Saya sebut perkara ini kerana saya perhatikan seperti yang saya katakan kejayaan dan kegagalan berbagai bangsa.
Ada bangsa yang berjaya walaupun negara mereka dimusnah oleh perang, tapi mereka dapat pulihkan negara mereka dan menjadi kuasa ekonomi dunia kedua yang tertinggi tetapi ada bangsa walaupun menang tetapi kerana tidak ada kualiti yang terbaik kepada mereka.
Mereka akan gagal tidak dapat pulihkan keadaan bahkan menjadi merosot lebih daripada dahulu. Pendapat saya walaupun sudah jemu orang mendengar saya masih berpendapat bahawa bukan kerana bangsa kita bahawa kita bumiputera, bahawa kita Melayu maka kita gagal. Bukan kerana bangsa tetapi kerana budaya kita, pegangan kita kepada nilai murni hidup yang tidak boleh memberi kejayaan kepada kita.
Selagi kita teruskan dengan cara ini selagi itulah, kita akan gagal lebih-lebih lagi kita akan diperkenalkan dengan cara mudah untuk kaya..kerajaan mengumpul wang dan bagi percuma kepada kita, BR1M , upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan, dan sebagainya.
Semua ini melemahkan kita kerana tidak perlu lagi berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya , sebaliknya kita menunggu-nunggu wang itu datang melayang bergolek kepada kita. Manusia kalau dia tidak berusaha maka dia akan merosot kebolehannya.
Kita tahu kalau kita tak berjalan lama-lama kaki kita akan jadi lembik, otot-otot kita akan menjadi lemah, dan kita tidak akan dapat berjalan. Kalau kita tak guna macam kita tidur sepanjang masa bila kita bangun nak berdiri pun tak boleh sebab kita tak guna otot-otot kita untuk berdiri.
Tetapi kalau kita selalunya mengguna tubuh badan kita maka kita akan tegap dan sihat, demikian juga dengan otak kita, kalau kita tak guna otak kita untuk mempelajari sesuatu , untuk baca untuk menulis, untuk menyelesaikan masalah maka dia akan jadi lemah dan tidak berupaya menggunakan akal fikiran untuk melawan nafsu umpamanya.
Sebab itu adalah amat penting untuk mencapai kejayaan kita tak usaha setakat banyak doa sahaja ataupun sembahyang hajat. ini perlu kita buat tetapi ia mestilah disusuli dengan usaha kita sendiri mengatasi segala kelemahan yang ada pada kita dan mengamal nilai hidup yang tetap akan memberi kejayaan kepada kita.
Janganlah jual peluang yang diberi, janganlah jual AP, jangan jual kontrak. Kita berharap kerajaan yang baru ditubuh ini akan menolong kita tetapi pertolongan tidak akan diberi kepada mereka yang mencari kekayaan yang cepat.
Kalau seseorang itu mendapat kontrak maka dialah yang akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual ataupun dipindah kepada orang lain maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf, kalau tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu jangan cuba mendapat kontrak kalau kita tidak boleh.
Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan
Tuan-tuan dan puan-puan, saya tidak ada berita gembira untuk disampaikan. Seperti biasa saya menegur, saya marah, saya berleter, semua lagi saya buat selama 22 tahun jadi perdana menteri. Itulah sahaja yang tahu saya sampaikan kepada bumiputera tetapi nampaknya kesannya amat sedikit ,
Kalau kita balik-balik menunggu-nunggu untuk kekayaan datang melayang datang bergolek kepada kita, tunggulah, tak akan ada yang datang melayang. Yang akan datang kepada kita adalah hasil usaha kita, kebetulan kita, amanah kita, kerajinan kita.
Ini yang memberi kejayaan. Selagi kita cari jalan yang mudah kita akan gagal, saya harap kongres ini serius dalam usaha untuk memperbaiki nasib bumiputera, orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melaksanakan keputusan yang baik jika ada. Kalau ia terhad kepada meminta-minta saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa. Bagi kita bukan berada di sini untuk menganiayai kaum bangsa kita sendiri, itulah harapan kita. - Bernama
sinarharian
0 comments:
Post a Comment