Monday, July 4, 2016

sakit hati

No comments:

Balu Syed Ahmad sakit hati Puncak Purnama ranap
Nadia Azam
4 Jul 2016


Sakit hati sangat-sangat, itu yang dirasakan oleh Datin Hamidah Mohd Noor selepas mendapat tahu legasi ditinggalkan arwah suaminya di Kuala Lumpur diruntuhkan begitu saja.

Lebih mengecewakan Hamidah, arca Puncak Purnama itu dianggap tidak menyusahkan sesiapa pun tetapi dirasa "menyakitkan mata" oleh seorang menteri.

"Apabila dapat tahu menteri kata arca itu tak boleh dibaik pulih, (saya marah sangat). Tok dia…," katanya dengan beremosi.

Kesedihan itu, kata Hamidah, tidak dapat dielakkan sebab kini apa yang tinggal hanyalah memori tentang karya arwah.


"Bagaimana kita nak adakan semula 'air tangan' dia sedangkan dia sudah pergi," katanya ketika bercakap di sidang media pejabat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir anak lelakinya Syed Nabil Syed Ahmad, kolektor seni Zain Azahari Zainal Abidin dan Pengerusi Galeri Seni Visual Negara Datuk Mahadzir Lokman.

Tidak ketinggalan ramai aktivis seni termasuk Zulkifli Yusuf, Bayu Utomo, Tan Nan See, Hassan Ghazali, U Wei Haji Saari, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penulis dan budayawan Dr Siti Zainon Ismail dan Raja Ahmad Aminullah.

Buat laporan polis

Sidang media itu diadakan ekoran robohnya arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal di Jalan Atap oleh pemaju yang mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula menjelaskan arca Puncak Purnama itu dirobohkan kerana menyakitkan pandangan, selain sudah usang dan tidak dapat dibaik pulih lagi.


Tengku Adnan turut berkata pihaknya mendapat rungutan daripada orang awam berhubung arca berkenaan.

Arca seramik kaca ilham bekas pengarah Balai Seni Lukis Negara itu disiapkan pada 1986.

Selepas sidang media itu sekurang-kurangnya lima penggiat seni kemudian mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Antara aktivis seni yang membuat laporan polis ialah seniman Pyanhabib, penulis Rahmat Haron dan kurator bebas Nur Hanim Khairuddin.

Difahamkan laporan polis turut dibuat di Perlis.

Sementara itu Syed Nabil berkata dia terkejut apabila mendapat tahu arca arwah bapanya dirobohkan pada Jumaat lalu.


Lebih mengecewakan, katanya, maklumat itu sampai kepadanya melalui pihak ketiga.

"Saya hanya diberitahu menerusi Facebook," katanya.

Selepas itu Syed Nabil berkata, dia cuba menghubungi DBKL pada petang berkenaan namun panggilan tersebut tidak berjawab.

Mengulas isu sama Samad pula berkata beliau amat terkilan dengan perobohan berkenaan dan menganggapnya menyalahi etika dan adab.

Justeru, beliau menyokong penuh tindakan penggiat seni melaporkan kegiatan dianggap tidak munasabah itu kepada pihak berkuasa.

“Polis harus tahu secara rasmi apakah tindakan merobohkan Puncak Purnama satu jenayah.

“Merobohkan sesuatu legenda adalah tindakan tidak munasabah dan apakah ia harus dibiarkan begitu saja?” soalnya.

Mahadzir pula berkata beliau sangat terkilan kerana pihaknya tidak dimaklumkan mengenai rancangan itu oleh DBKL.

Apabila mengetahui perobohan berkenaan Mahadzir berkata beliau pergi ke tapak arca berkenaan dan apabila sampai, hanya tinggal satu tiang di situ.

"Saya menyaksikan upacara merobohkan tiang terakhir itu," katanya.

Mahadzir juga memberitahu ada beberapa langkah boleh diambil untuk menyelamatkan arca berkenaan.

Selain memindahkannya ke tapak baru, katanya, aktiviti gotong-royong juga boleh diadakan untuk menyelamatkan Puncak Purnama.

"Tapi nasi sudah menjadi bubur, dan tepat jam 5 petang semalam arca itu hancur semuanya," kata beliau.

Selain berkhidmat dengan agensi kerajaan semasa hayatnya Syed Ahmad juga menjadi orang yang bertanggungjawab mereka logo Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) - sebuah organisasi bebas yang digerakkan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

Pertubuan itu kemudian membentuk Parti Keadilan Nasional sebelum bertukar menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini.

malaysiakini
Continue Reading...

sakit mata

No comments:
sakit mata
Continue Reading...

komplot

No comments:
KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menganjurkan program "Nothing to Hide 2.0" pada 3 Julai 2016 di Kelab Darul Ehsan. Presiden JMM, Azwandin Hamzah, jelas berbohong apabila mengatakan saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke program tersebut dalam pertemuan empat mata antara saya dengan beliau. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau, tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menghadiri program itu dan tidak pernah menerima apa-apa jemputan daripada JMM. Kenyataan Azwandin adalah satu pembohongan besar yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menjatuhkan reputasi saya.


Untuk rekod, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat penafian mengenai penyertaan saya dalam program tersebut di laman Facebook rasmi saya. Apabila mengetahui JMM terus mengedarkan hebahan mengenai program itu dan menjemput orang ramai untuk hadir, saya sekali lagi mengarahkan pegawai saya untuk membuat penafian di media. Saya juga telah meminta pegawai saya menghubungi JMM secara terus untuk menafikan penglibatan saya, namun beberapa panggilan yang dibuat kepada Azwandin telah tidak dijawab oleh beliau.


Saya mengetahui melalui laporan media bahawa JMM tetap menganjurkan program tersebut walaupun penafian telah dibuat oleh pihak saya. Malah program itu telah dijadikan pentas untuk mengecam saya dan membohongi hadirin kononnya saya telah mungkir janji untuk menghadirinya. Saya diberitahu ramai hadirin bertindak meninggalkan majlis selepas mendapati pihak penganjur berbohong mengenai kehadiran saya.


Tindak tanduk JMM jelas menunjukkan mereka sebenarnya berkomplot untuk menjatuhkan reputasi saya dengan membayangkan saya sebagai seorang pengecut dan tidak boleh dipercayai kerana gagal menghadiri program tersebut. Sedangkan pihak saya telah lebih awal membuat penafian secara rasmi mengenai penglibatan saya. Penting untuk diketahui bahawa program "Nothing to Hide 2.0" adalah satu komplot jahat yang dilakukan secara terancang oleh pihak yang rendah moral dan muflis akhlak.


Saya berasa amat sedih dan kecewa kerana ada pemimpin NGO Melayu yang sanggup berbohong dan menabur fitnah apalagi di penghujung Ramadhan yang mulia ini di mana umat Islam dituntut meningkatkan amal ibadah dan memohon ke hadrat Ilahi supaya mengampunkan segala dosa dan kesalahan kita. Begitu juga dengan sikap tidak bertanggungjawab TV3 yang turut bersubahat menyebarkan pembohongan yang sama. Semoga Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada mereka semua.


TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
4 JULAI 2016


muhyiddin yassin 

Continue Reading...

Friday, July 1, 2016

KISAH YAYASAN KEPIMPINAN PERDANA

No comments:



 Jika sekiranya Kerajaan berhenti menyewa ruang di Yayasan Kepimpinan Perdana dan enggan membayar gaji kakitangan Kerajaan yang diberikan kepada saya, saya akan tetap bekerja di sini, di Yayasan Kepimpinan Perdana.


KISAH YAYASAN KEPIMPINAN PERDANA
Tun Dr Mahathir Mohamad


1. Saya berasa pada secara umumnya rakyat Malaysia mengetahui sedikit sahaja mengenai Yayasan Kepimpinan Perdana. Sudah tentu lebih sedikit lagi orang yang mengetahui asal-usulnya.

2. Sekarang ini oleh sebab Kerajaan Dato Sri Najib sedang cuba memusnahkan Yayasan ini, ia telah mendapat nama buruk yang tertentu. Mungkin sudah tiba masanya untuk sedari orang ramai tentang asal-usul dan tugasnya.

3. Ianya bermula dengan cadangan oleh beberapa orang ahli perniagaan supaya satu perpustakaan dibina untuk memperingati dua puluh dua tahun saya menjadi Perdana Menteri.

4. Saya berasa amat berbesar hati tetapi di samping mengetahui bahawa mereka akan dituduh nanti sebagai kroni saya, idea ini bertentangan dengan prinsip saya menentang pemujaan individu (personality cult).

5. Sepanjang masa saya berada dalam Kerajaan saya telah cuba untuk menghentikan amalan menamakan tempat-tempat awam dengan nama orang-orang yang masih hidup. Pengecualian yang saya buat adalah hanya untuk raja-raja. Lain-lainnya perlu menunggu sehingga mereka mati sebelum nama mereka diberikan kepada tempat-tempat awam.

6. Oleh kerana saya masih hidup pada masa cadangan dibuat, saya menolak cadangan itu. Sebaliknya saya juga tidak boleh mengabaikan sumbangan mereka sebelum saya terhadap pembangunan Malaysia.

7. Maka itu saya mencadangkan agar mereka memperingati semua Perdana Menteri sebelumnya dan Perdana Menteri masa akan datang dengan menubuhkan sebuah institut untuk mengumpul semua dokumen yang berkaitan dengan dasar, strategi dan pelan yang dimula dan dilaksanakan oleh semua Perdana Menteri Malaysia.

8. Oleh itulah nama Yayasan Kepimpinan Perdana atau Institut. Di Perpustakaan Yayasan dikumpulkan maklumat mengenai kerja-kerja semua Perdana Menteri Malaysia. Ia adalah perpustakaan rujukan yang tersedia untuk semua orang yang ingin belajar kisah pembangunan Malaysia dan sumbangan Menteri Perdananya.

9. Pengasas dan penaja Yayasan membeli tanah, membina bangunan dan menyelenggarakannya. Kakitangan untuk arkib dan perpustakaan dan kakitangan sokongan dibayar gaji daripada dana Yayasan melalui sumbangan oleh pihak penaja.

10. Amalan di Malaysia adalah untuk Kerajaan mengadakan suatu pejabat dan kakitangan untuk bekas Perdana-Perdana Menteri. Walaupun Tunku agak antagonistik terhadap Kerajaan dan pernah berucap dari platform pembangkang dan menyokong DAP, beliau menikmati keistimewaan sehingga beliau meninggal dunia.

11. Oleh yang demikian Kerajaan telah menyewa ruang di Yayasan Kepimpinan Perdana bagi saya dan beberapa kakitangan saya.

12. Selain daripada kerja-kerja mengumpul dokumen, ucapan dan tulisan-tulisan para Perdana Menteri, Yayasan Kepimpinan Perdana memutuskan untuk berkempen menjenayahkan peperangan. Ini membawa kepada penciptaan Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW). Kami mengadakan persidangan yang disertai oleh pencinta keamanan tempatan dan juga dari Timur Tengah, Eropah, Amerika dan tempat lain di dunia. Kami masih terus dengan kempen ini.

13. Yayasan Kepimpinan Perdana adalah juga terlibat dalam membantu rakyat Palestin terutamanya selepas Israel menyerang Gaza. Untuk menjalankan usaha ini secara khusus untuk membantu mereka yang menderita di negara-negara yang musnah akibat peperangan, kami telah menubuhkan Perdana Global Peace Foundation (PGPF). Kami telah melakukan kerja-kerja amal di kalangan mereka.

14. Untuk aktiviti-aktiviti ini, kita mengumpul dana daripada orang ramai. Pada masa-masa yang lepas pihak Kerajaan telah menyumbang beberapa juta Ringgit yang mana kami amat berterima kasih.

15. Oleh kerana saya berada di dalam bangunan ini, macam-macam jenis orang datang berjumpa dengan saya, secara bersendirian atau berkumpulan. Apabila mereka tidak berpuas hati dengan Kerajaan mereka meminta pertolongan saya. Saya tidak pernah menutup pintu saya kepada sesiapa. Sebab itu selepas bersara saya masih pergi ke pejabat seolah-olah saya masih bekerja.

16. Sudah tentunya ada juga orang yang datang berjumpa dengan saya di tempat-tempat lain, dalam tiga pejabat yang lain dan juga di rumah saya. Tetapi oleh kerana sekarang saya telah meletakkan jawatan dari Proton dan Petronas, Yayasan Kepimpinan Perdana biasanyalah tempat yang saya bekerja.

17. Jika sekiranya Kerajaan berhenti menyewa ruang di Yayasan Kepimpinan Perdana dan enggan membayar gaji kakitangan Kerajaan yang diberikan kepada saya, saya akan tetap bekerja di sini, di Yayasan Kepimpinan Perdana.

18. Hanya kini penyokong Yayasan Kepimpinan Perdana berasa takut kerana orang yang rapat dengan saya diganggu. Mereka boleh berhenti menyokong Yayasan Kepimpinan Perdana dan kami perlu berhentikan penyelidikan yang dilakukan di perpustakaan dan arkib kami dan juga kempen kami untuk menjadi pembunuhan orang dan kemusnahan negara-negara melalui perang suatu jenayah.

19. Tetapi itu semuanya tidak apa. Saya hanya mahu orang ramai tahu apa sebenarnya Yayasan Kepimpinan Perdana.

mahathir mohamad
Continue Reading...

pendorong tindakan?

No comments:
MENGAPA BAGINI...KEMANA SUDAHNYA ??
Rafidah Aziz Malaysian Citizen














Sementara United Kingdom melalui peristiwa "Brexit" nya, dengan referendum untuk keluar dari European Union, kita di Malaysia juga tidak ketinggalan. UMNO telah berterusan melakukan "Umno-exit" nya sendiri dengan penyingkiran beberapa pemimpin2 Umno..atas beberapa alasan2. Dan ada yang sendiri meninggalkan Parti.


Umno dalam setengah abad yang lalu , telah mengalami pelbagai peristiwa dan gegaran. Setiap peristiwa secara berterusan ,telah menghakis kekuatan dan ketahanan Parti , terutama dengan semakin ramai anak2 muda yang tidak kenal dengan perjuangan Umno dimasa lalu.
Pasti Umno tidak bolih hanya bersandarkan kapada sentimen perjuangan lama..kerana suasana politik, sosial dan ekonomi memerlukan strategi serta penekanan2 yang berbeza.
Namun kita TIDAK bolih lari dari hakikat bahawa, PERPADUAN ,dalam mana jua zaman dan era, adalah kunci kapada kejayaan Parti seterusnya.

Dan Perpaduan tersebut akan pasti terjejas apabila terdapat perpecahan Parti mengikut kelompok dan kumpulan ..dan antara " orang saya " dan " orang dia", serta " orang kita " dan " orang mereka". Dan apabila pelbagaian pendapat tidak dapat diterima, dan di anggap sebagai " tentangan".
Sekarang nyata sudah berlaku "perperangan terbuka". Segala kain kotor dikirai kapada awam. Kata2 kesat dikeluarkan. DENDAM MENDENDAM sudah menjadi asas . Setiap pemimpin mencuba sedaya upaya, untuk menujukkan pemimpin yang satu lagi betul2 huduh dan buruk. Masing2 menconteng arang kepada muka antara satu dengan yang lain, hingga setiap yang terlibat nampak BAGITU BURUK DAH HUDUH, kapada awam.

Pasti ramai yang beranggapan bahawa TIADA SEORANG PUN pemimpin " yang betul "...dan mengaggap "semuanya tak bolih pakai" olih KERANA PEMIMPIN2 SENDIRI yang mencaci dan memburukkan sesama sendiri !!
Politik telah menjadi PERIBADI atau PERSONAL.
Adakah INI matlamat perbalahan antara pemimpin2 dalam Umno?

Mengapa dibiar Dendam dan sakit hati menjadi pendorong tindakan? Dimana letaknya pegangan dan komitmen kapada Cogankata Umno.."BERSATU,BERSETIA BERKHIDMAT" ?
Apabila yang sebenarnya berlaku ialah berbalah...berdendam ..dan berpecah belah ?
Umno sudah pernah di Haramkan. Orang2 Umno telah menubuhkan parti2 politik sendiri dan menentang Umno.
Mengapa dibiarkan permusuhan menular dalam Parti sehingga kawan jadi lawan...dan lawan dibawa tidur sebantal ?

Tidakkah kita belajar dari masa lepas ? Dari peristiwa2 pahit yang telah banyak menjejaskan Parti ?
Menjelang Shawal ini, wajar kita renungkan bersama tentang kemana arah haluan Parti..kita TIDAK memupuk kekuatan jika tidak ada perpaduan sebenarnya.
Perpaduan BUKAN bererti MENJERIT2 SLOGAN, BERPELUK2AN atau MENCIUM2 TANGAN!
Atau PHOTO OPP dan kenyataan2
yang " mencerminkan " yang " semua ok".
Anak2 muda ada opsyen dan pilihan lain.
Sepatutnya kita yang telah lama dalam Umno, menunjukkan contoh2 kepimpinan yang baik, supaya anak2 muda menjadi tokoktambah kapada kekuatan Umno.
Sememang MASIH ADA Isu2 dan masaalah, yang perlu diselesaikan supaya tidak terus terjejas keredibiliti kepimpinan Parti dan Kerajaan..Isu2 yang menjadi perhatian dunia.
Yang BETUL tetap betul. Yang SALAH tetap salah.
TETAPI penyelesaian TIDAK akan diperolehi dengan cara perbalahan dan dendam peribadi. Ia hanya mengeruh dan mengusutkan keadaan.
FOKUS kapada ISU..BUKAN kapada peribadi ..

KESETIAAN mestilah kapada PARTI..BUKAN kapada mana2 INDIVIDU..KERANA INDIVIDU DATANG DAN PERGI.. Sudah ramai yang telah pergi..tetapi PARTI mesti KEKAL.
Hentikanlah perbalahan..carilah jalan penyatuan..

Pemimpin2 dimasa lalu juga berseliseh faham. Tetapi antara mereka menganggap saperti air yang di cincang tidak akan putus..
Jangan dibiarkan masaalah2 yang menular itu menyebabkan ahli2 sendiri kecewa . Apatah lagi orang2 Melayu dan Rakyat.

UMNO sebagai Parti TIDAK bersalah..MAANUSIA dan gelagatnya,
yang mencemar nama baik Umno.. dengan tindak tanduk yang tidak selari dengan semangat perjuangan sebenarnya. JANGAN kerana maanusia, UMNO di PERSALAHKAN.
Berperang sesama sendiri , didorong olih dendam dan mungkin juga ego ,merugikan Parti. Disamping menambah Dosa, dan memburukkan diri masing2 pada khalayak ramai .
Pasti diShawal ini , RAMAI yang perlu memohon AMPUN MAAF antara masing2.
Sama2lah kita ingat apa kata orang tua2...
KERANA NILA SETITIK..ROSAK SUSU SEBELANGA.
DAN berpesan lagi orang tua2...
Jangan menang sorak..kampong tergadai..



Rafidah Aziz Malaysian Citizen 

 
Continue Reading...

monorel putrajaya

No comments:




Kembalikan monorel Putrajaya

Oleh Zulkifli Jalil
27 Oktober 2011

KALAU diikutkan hati, mahu sahaja diminta semua penjawat awam yang tinggal di kuarters-kuarters di Putrajaya berbasikal ke ofis.

Tapi kasihan pula. Nanti sebaik sahaja sampai di pintu masuk ofis, sudah berpeluh-peluh. Itu belum masuk ke bilik ber‘aircond’, nanti badan berbau pula. Ketika ini sasaran Perbadanan Putrajaya menerusi kempen bandar hijaunya mahu mengurangkan suhu panas sebanyak dua peratus daripada 35 darjah celsius sedia ada.

Dengan adanya pokok hujan-hujan yang cepat tumbesarannya, sekurang-kurangnya dapat menyejukkan suhu di Putrajaya. Tetapi dari hari ke hari, jumlah kenderaan yang berada atau memasuki Putrajaya kian bertambah. Di pusat pentadbiran persekutuan itu sahaja ketika ini terdapat 26,000 buah rumah. Jika purata sebuah rumah ada dua buah kereta, maka darabkanlah = 52,000 buah kereta. Pada masa ini kenderaan di Putrajaya menyumbang 25.9 peratus pelepasan karbon dioksida manakala pembinaan sekitar 30 peratus.

Memang kenderaan di Putrajaya kian bertambah. Bukan sekali tambah, tapi berganda dari tahun ke tahun. Jika sebelum ini, sejumlah 1,000 petak letak kereta disediakan di Parcel D untuk penjawat awam, kenderaan yang memasukinya kini mencecah 13,000 buah. Staf ramai dengan kereta sesak bertali arus pada awal pagi. Menjelang pukul 5 petang, bertambah sesak lagi sehingga terpaksa menunggu dalam kereta hampir dua jam sebelum jalan ‘clear’.

Itu sebabnya timbul rasa terkilan di hati apabila melihat landasan monorel separuh siap berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya semalam. Kalaulah dulu projek bernilai RM400 juta ini diteruskan, sudah pasti Putrajaya tidak mengalami masalah tempat letak kereta kronik seperti sekarang. Tetapi jika sekarang hendak dibina, bayangkanlah berapa mahal kosnya.

Bayangkan monorel bergerak di sekitar Putrajaya . Tidakkah itu suatu yang indah dan kelihatan maju? Tetapi projek ini terbengkalai dengan jejambat untuk menempatkan relnya terjuntai di stesen LRT di antara Kuala Lumpur dan KLIA.

Hakikatnya, masa depan pengangkutan manusia di seluruh dunia terutama di kawasan urban adalah sistem rel.

Jika diimbau kembali, projek pengangkutan monorel Putrajaya yang meliputi jarak rel sepanjang 18 kilometer sebelum ini dijadualkan siap pada penghujung 2004. Tetapi ia ditangguhkan pada pertengahan tahun tersebut kerana ketiadaan peruntukan. Pembangunan fasa pertama projek itu melibatkan pewujudan sistem pengangkutan monorel bawah tanah dan jejantas sepanjang lapan kilometer menghubungkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Presint 3 ke Kementerian Pelajaran di Kompleks E.

Ketika itu (2004), MTrans Monorail Sdn. Bhd. (MTrans) diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu, yang dijadual mengambil masa 30 bulan bagi membina 12 stesen termasuk tujuh di bawah tanah dan landasan.

Jika projek monorel ini diteruskan, maka penduduk atau pengunjung luar Putrajaya, akan dibekalkan dengan dua laluan. Laluan yang hendak dimulakan dulu itu adalah line 1. Ia bersambung daripada Putrajaya Sentral dengan depotnya di atas sedikit dari situ. Dari situ (stesen 1), ia dihubungkan ke stesen dua di kawasan perumahahan Putra Harmoni ke Putrajaya Sentral (stesen 3) dan stesen 4 di depan hospital. Kemudian, disambungkan ke stesen 5 di kawasan komersial yang sedang dibina di Presint 8 dan naik melalui jambatan masuk ke terowong yang memang ada laluan dibina. Dari situ ke Presint 4 di Wisma Tani, kemudian ke Kementerian Kewangan. Kelak, akan ada beberapa stesen ke situ dan mempunyai lingkungan belasan stesen dan semuanya berada di bawah tanah. Laluan seterusnya adalah sehingga ke kompleks E di mana stesen berada di atasnya dan kemudian ke Alamanda dengan stesen bersebelahan tempat letak kereta bahagian selatan. Dari situ akan ke setakat Presint 15 (Diplomatik) dengan pelan perancangan dihubungkan ke Kampung Abu Bakar Baginda.

Line dua pula akan melalui Presint 17 dan 18 sebelum bercantum kembali di Presint 4 yang kemudian dihubungkan ke PICC, Pullman dan ke Cyberjaya.

Hasrat untuk meneruskan projek monorel yang tergendala ini pernah ditimbulkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Datuk Zulhasnan Rafique pada 2007 yang antaranya mahu memperincikan kaedah pelaksanaannya selain merujuk kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Malah, Perbadanan Putrajaya sendiri melantik sebuah syarikat perunding tempatan untuk menyiapkan kajian mengenai model kewangan yang sesuai bagi meneruskan projek pengangkutan monorel ini.

Namun akhbar ini difahamkan, hasrat itu muncul kembali kerana ia dikatakan akan menjadi pelengkap kepada kejayaan bandar hijau Putrajaya. Dan dikatakan kos untuk menyiapkan satu line memakan belanja RM1 bilion.

Harap-haraplah projek ini diteruskan. Kelak, Putrajaya nampak urban dengan park & ride ‘naik sama’ dengan digunakan semaksimum mungkin seperti mana contoh Park & Ride terbaik dunia di Stockholm, Hull City, Oxford City dan Prague.

utusan malaysia

 
Continue Reading...

begitu diperlakukan

No comments:
Saya terkesan bila Tun dihina'
JANATUL FIRDAUS YAACOB
Foto oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
30 Jun 2016

 Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

PUTRAJAYA - “Kita tak boleh buat apa, mereka berkuasa sangat, serah saja kepada ALLAH. Mungkin ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku," demikian luahan hati isteri bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Saya tahu suami saya (Tun Dr Mahathir Mohamad) kecewa dan sedih jadi tunggu saja, serah kepada ALLAH. Tak pe lah.. orang tu terlalu berkuasa, kita tak boleh buat apa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana sempena pelancaran buku, My Name is Hasmah, semalam.

Menurutnya, tidak ada apa yang boleh dilakukan memandangkan ‘lawannya’ itu terlalu berkuasa meskipun selepas 22 tahun menerajui negara dan Umno namun jasa bekas Perdana Menteri itu dakwanya sedikit pun tidak dihargai oleh parti itu, pimpinan masa kini termasuk juga segelintir rakyat Malaysia.

Berkongsi dugaan perjuangan yang dihadapi suaminya, Dr Siti Hasmah mengakui beliau turut terkesan dengan kata-kata nista dan tindakan yang dilakukan oleh pimpinan negara ketika ini.

“Sebagai isteri kepada Mahathir, saya mengaku serangan dan perbuatan mereka terhadap beliau sangat memberi kesan tapi saya tak tunjuk, tak nak beliau bertambah risau.

“Sebab itu saya memilih untuk sentiasa bersamanya setiap masa dan menghormati perjuangannya yang masih belum selesai. Kadang-kadang saya kasihan mengenangkan nasib beliau yang diperlakukan sedemikian rupa,” katanya dengan nada perlahan.

Tindakan Najib 'tidak baik'

Beliau yang bakal menginjak usia 90 tahun pada 20 Julai ini menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Dr Mahathir sebagai ‘tidak baik’ kerana hubungan keluarga mereka sangat erat sebelum ini.

“Keluarga kami sangat rapat, ayah Najib, Tun Razak itu belajar satu sekolah dengan abang saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), jadi kami dah lama kenal.

“Tapi dengan apa yang terjadi akhir-akhir ini, benar-benar membuatkan saya sedih. Malah saya sendiri berkawan rapat dengan Tun Suhailah dan juga Tun Rahah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, paling menyedihkan apabila Mahathir tidak lagi menerajui Proton Holdings kerana syarikat itu menyimpan nilai sentimental kerana dibangunkan suaminya bermula dari kosong sehingga gah seperti sekarang.

“Cara dan tindakan Najib terhadap Mahathir itu kelihatan sangat tidak baik, saya dapat rasakan perasaan suami saya tapi apa boleh buat,” katanya.

Sebagai ibu bekas Menteri Besar Kedah, Dr Siti Hasmah menegaskan beliau bukan ahli politik malah ketika menjadi isteri perdana menteri, suaminya hanya mendaftarkan beliau sekadar ahli Umno sahaja.

“Kepada anak-anak, saya cuma nasihatkan mereka sekiranya terjun ke bidang politik, perkara utama yang perlu dilakukan ialah berhati-hati dan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi kerana dari situlah seseorang pemimpin politik mendapat sokongan,” katanya.

Anak-anak kena ambil vaksin

Sementara itu, sebagai doktor wanita Melayu pertama Malaysia, Dr Siti Hasmah memberi peringatan kepada semua ibu bapa untuk mengambil vaksin terhadap anak-anak mereka demi kesejahteraan.

“Setiap kali saya jumpa ibu dan anak saya akan pergi kepadanya dan bertanya, ini anak ke berapa? Vaksin dah ambil? Itu memang soalan wajib.

“Pengambilan vaksin sangat penting dan ia tidak boleh dianggap remeh. Vaksin sebagai imunisasi melindungi manusia daripada serangan penyakit dan wabak,” katanya.

Berkenaan karyanya, My Name is Hasmah terbitan Kumpulan Media Karangkraf adalah berkisar mengenai suara, sudut pandang dan pengalaman beliau sejak kecil, zaman persekolahan, universiti, berkahwin serta membina keluarga termasuk sebagai bekas wanita pertama.

“Sebagai isteri Mahathir di rumah beliau suami saya dan apabila di luar Mahathir milik masyarakat, saya hormat perkara itu.

“Bab paling menarik dalam buku ini dan hidup saya ialah menjadi isteri Mahathir dan mempunyai anak-anak bersamanya,” kongsinya.

sinar harian
Continue Reading...