Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menganjurkan program "Nothing to Hide 2.0" pada 3 Julai 2016 di Kelab Darul Ehsan. Presiden JMM, Azwandin Hamzah, jelas berbohong apabila mengatakan saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir ke program tersebut dalam pertemuan empat mata antara saya dengan beliau. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau, tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menghadiri program itu dan tidak pernah menerima apa-apa jemputan daripada JMM. Kenyataan Azwandin adalah satu pembohongan besar yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menjatuhkan reputasi saya.
Untuk rekod, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat penafian mengenai penyertaan saya dalam program tersebut di laman Facebook rasmi saya. Apabila mengetahui JMM terus mengedarkan hebahan mengenai program itu dan menjemput orang ramai untuk hadir, saya sekali lagi mengarahkan pegawai saya untuk membuat penafian di media. Saya juga telah meminta pegawai saya menghubungi JMM secara terus untuk menafikan penglibatan saya, namun beberapa panggilan yang dibuat kepada Azwandin telah tidak dijawab oleh beliau.
Saya mengetahui melalui laporan media bahawa JMM tetap menganjurkan program tersebut walaupun penafian telah dibuat oleh pihak saya. Malah program itu telah dijadikan pentas untuk mengecam saya dan membohongi hadirin kononnya saya telah mungkir janji untuk menghadirinya. Saya diberitahu ramai hadirin bertindak meninggalkan majlis selepas mendapati pihak penganjur berbohong mengenai kehadiran saya.
Tindak tanduk JMM jelas menunjukkan mereka sebenarnya berkomplot untuk menjatuhkan reputasi saya dengan membayangkan saya sebagai seorang pengecut dan tidak boleh dipercayai kerana gagal menghadiri program tersebut. Sedangkan pihak saya telah lebih awal membuat penafian secara rasmi mengenai penglibatan saya. Penting untuk diketahui bahawa program "Nothing to Hide 2.0" adalah satu komplot jahat yang dilakukan secara terancang oleh pihak yang rendah moral dan muflis akhlak.
Saya berasa amat sedih dan kecewa kerana ada pemimpin NGO Melayu yang sanggup berbohong dan menabur fitnah apalagi di penghujung Ramadhan yang mulia ini di mana umat Islam dituntut meningkatkan amal ibadah dan memohon ke hadrat Ilahi supaya mengampunkan segala dosa dan kesalahan kita. Begitu juga dengan sikap tidak bertanggungjawab TV3 yang turut bersubahat menyebarkan pembohongan yang sama. Semoga Allah s.w.t memberikan petunjuk kepada mereka semua.
TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
4 JULAI 2016
muhyiddin yassin
0 comments:
Post a Comment