Monday, July 4, 2016

sakit hati



Balu Syed Ahmad sakit hati Puncak Purnama ranap
Nadia Azam
4 Jul 2016


Sakit hati sangat-sangat, itu yang dirasakan oleh Datin Hamidah Mohd Noor selepas mendapat tahu legasi ditinggalkan arwah suaminya di Kuala Lumpur diruntuhkan begitu saja.

Lebih mengecewakan Hamidah, arca Puncak Purnama itu dianggap tidak menyusahkan sesiapa pun tetapi dirasa "menyakitkan mata" oleh seorang menteri.

"Apabila dapat tahu menteri kata arca itu tak boleh dibaik pulih, (saya marah sangat). Tok dia…," katanya dengan beremosi.

Kesedihan itu, kata Hamidah, tidak dapat dielakkan sebab kini apa yang tinggal hanyalah memori tentang karya arwah.


"Bagaimana kita nak adakan semula 'air tangan' dia sedangkan dia sudah pergi," katanya ketika bercakap di sidang media pejabat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir anak lelakinya Syed Nabil Syed Ahmad, kolektor seni Zain Azahari Zainal Abidin dan Pengerusi Galeri Seni Visual Negara Datuk Mahadzir Lokman.

Tidak ketinggalan ramai aktivis seni termasuk Zulkifli Yusuf, Bayu Utomo, Tan Nan See, Hassan Ghazali, U Wei Haji Saari, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penulis dan budayawan Dr Siti Zainon Ismail dan Raja Ahmad Aminullah.

Buat laporan polis

Sidang media itu diadakan ekoran robohnya arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal di Jalan Atap oleh pemaju yang mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula menjelaskan arca Puncak Purnama itu dirobohkan kerana menyakitkan pandangan, selain sudah usang dan tidak dapat dibaik pulih lagi.


Tengku Adnan turut berkata pihaknya mendapat rungutan daripada orang awam berhubung arca berkenaan.

Arca seramik kaca ilham bekas pengarah Balai Seni Lukis Negara itu disiapkan pada 1986.

Selepas sidang media itu sekurang-kurangnya lima penggiat seni kemudian mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Antara aktivis seni yang membuat laporan polis ialah seniman Pyanhabib, penulis Rahmat Haron dan kurator bebas Nur Hanim Khairuddin.

Difahamkan laporan polis turut dibuat di Perlis.

Sementara itu Syed Nabil berkata dia terkejut apabila mendapat tahu arca arwah bapanya dirobohkan pada Jumaat lalu.


Lebih mengecewakan, katanya, maklumat itu sampai kepadanya melalui pihak ketiga.

"Saya hanya diberitahu menerusi Facebook," katanya.

Selepas itu Syed Nabil berkata, dia cuba menghubungi DBKL pada petang berkenaan namun panggilan tersebut tidak berjawab.

Mengulas isu sama Samad pula berkata beliau amat terkilan dengan perobohan berkenaan dan menganggapnya menyalahi etika dan adab.

Justeru, beliau menyokong penuh tindakan penggiat seni melaporkan kegiatan dianggap tidak munasabah itu kepada pihak berkuasa.

“Polis harus tahu secara rasmi apakah tindakan merobohkan Puncak Purnama satu jenayah.

“Merobohkan sesuatu legenda adalah tindakan tidak munasabah dan apakah ia harus dibiarkan begitu saja?” soalnya.

Mahadzir pula berkata beliau sangat terkilan kerana pihaknya tidak dimaklumkan mengenai rancangan itu oleh DBKL.

Apabila mengetahui perobohan berkenaan Mahadzir berkata beliau pergi ke tapak arca berkenaan dan apabila sampai, hanya tinggal satu tiang di situ.

"Saya menyaksikan upacara merobohkan tiang terakhir itu," katanya.

Mahadzir juga memberitahu ada beberapa langkah boleh diambil untuk menyelamatkan arca berkenaan.

Selain memindahkannya ke tapak baru, katanya, aktiviti gotong-royong juga boleh diadakan untuk menyelamatkan Puncak Purnama.

"Tapi nasi sudah menjadi bubur, dan tepat jam 5 petang semalam arca itu hancur semuanya," kata beliau.

Selain berkhidmat dengan agensi kerajaan semasa hayatnya Syed Ahmad juga menjadi orang yang bertanggungjawab mereka logo Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) - sebuah organisasi bebas yang digerakkan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

Pertubuan itu kemudian membentuk Parti Keadilan Nasional sebelum bertukar menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini.

malaysiakini
Share this article :

0 comments: