'Umno masih celaru'
Roslinda Hashim
3 Jun 2018
ALOR SETAR - Umno masih celaru selepas kekalahan parti itu pada PRU14 lalu sehingga kemelut Umno Perlis tidak mampu diselesaikan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu masih dalam keadaan kucar kacir dan tidak dapat menentukan prinsip perjuangan menyebabkan krisis Menteri Besar Perlis berterusan.
Menurutnya, kepimpinan parti itu masih berada dalam proses pemulihan selepas kekalahan teruk PRU lalu.
Mengulas kenyataan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini yang meminta Mahathir campur tangan selesaikan kemelut itu, katanya, ia sesuatu yang sukar kerana berlainan parti.
“Macam mana saya nak campur tangan, parti saya (Pakatan Harapan) tidak berkuasa di Perlis. Jika ada kuasa saya bolehlah bantu, ini parti lain,” katanya.
Mengulas pemilihan Umno akan datang, yang menyaksikan jawatan tertinggi Presiden bakal dipertandingkan, katanya, calon terbaik adalah Khairy Jamaluddin.
“Sekarang Umno akan ada pertandingan termasuk jawatan ketua. Calon terbaik untuk jawatan presiden adalah Khairy,”
sinarharian
Catatan 1
Wawancara
Umno kalah sebab pemimpin bisu dalam skandal 1MDB, kata Syed Ali
Kow Gah Chie & Jasmine Foong
Diterbitkan 2 Jun 2018
WAWANCARA | Bagi Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, semua pihak dalam Umno perlu dipersalahkan atas kekalahan parti itu pada PRU ke-14.
Katanya, ini kerana semuanya secara membuta-tuli menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau berkata pemimpin dan akar umbi Umno sepatutnya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mereka bersuara tentang 1MDB, sehingga menyebabkan mereka dibuang atau terpaksa keluar parti.
"Semua bertanggungjawab. Kami wajar dipersalahkan kerana tiada yang bersuara seperti Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz.
"Kami tidak pernah bercakap tentang 1MDB dan tidak pernah beritahu bekas perdana menteri bahawa kami rasa ada yang tidak kena dengan 1MDB.
"Kami terlalu takut untuk bersuara, (jadi) kami mendakwa Najib betul dan tiga pemimpin itu mahu sabotajnya. Kami hanya ikut arus," katanya lagi.
Beliau yang juga Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan berkata, salah satu sebabnya adalah ketakutan pemimpin Umno yang mereka mungkin kehilangan jawatan dalam kerajaan, seperti apa yang berlaku terhadap Muhyiddin.
Beliau berkata masih ingat dengan jelas bagaimana presiden BERSATU itu disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas secara terbuka mengkritik 1MDB dalam perhimpunan agung Umno Cheras pada 26 Julai 2015.
Katanya, beliau sudah "separuh percaya" tentang apa yang dikatakan Muhyiddin pada ketika itu tetapi memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa kerana mahu kekal dalam kerajaan.
Syed Ali mengimbas kembali tindakannya melawat Muhyiddin sehari selepas pemecatannya yang mengundang kritikan daripada pemimpin parti yang lain.
"Selepas itu saya menutup mulut. Saya juga bertanggungjawab (atas kekalahan Umno dan BN)," katanya lagi.
Najib yang meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN tiga hari selepas PRU ke-14 kini disiasat polis bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 ekoran skandal 1MDB.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dua kali mengambil keterangannya untuk siasatan mereka terhadap skandal sama.
Bulan lalu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyuarakan kekesalannya kerana tidak memberitahu Najib tentang betapa akar umbi telah menolak parti itu susulan penyingkiran Muhyiddin dan bekas naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal.
Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata kegagalan Najib menangani persepsi selepas beliau dan keluarganya terkait dalam isu 1MDB adalah punca kekalahan Umno dan BN pada PRU lalu.
Turut serta adalah bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyifatkan Umno bersikap angkuh apabila merasakan pengundi merasa terhutang dengan BN.
'Tiada lagi dana'
Syed Ali mengakui faktor Najib telah memberikan kemenangan kepada HARAPAN tetapi berkata sudah terlewat untuk meletakkan kesalahan.
"Sudah terlambat. Malah ini bukan masanya untuk menyalahkan (mana-mana pihak). Kita sendiri salah kerana tidak bercakap tetapi hanya mengikut...kita perlu hentikan amalan ini.
"Kita perlu sama-sama bekerja untuk mendapat semula sokongan rakyat dan tunjukkan yang kita boleh berubah," katanya lagi.
Beliau juga membangkitkan sejumlah anggota Umno yang telah menyertai BERSATU dan menganggapnya ia mempunyai hikmah tersendiri.
Katanya, beliau sentiasa memberitahu anggota parti yang menyokong HARAPAN pada PRU lalu dan yang tertarik dengan BERSATU untuk meninggalkan Umno.
"Mereka yang kekal adalah anggota Umno tulen yang komited dengan perjuangan."
Ketika wawancara, Syed Ali juga mengesahkan Umno sudah menghentikan peruntukan terhadap bahagian parti di seluruh negara.
Beliau berkata telah menghubungi Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengesahkan surat bertarikh 22 Mei berkaitan perkara itu.
"Saya tiada masalah kerana sudah biasa bebas (secara kewangan). Jika saya ingin buat program parti, saya akan cari (penaja) sendiri.
"Sebelum ini ibu pejabat parti dapat salurkan sejumlah peruntukan untuk menyokong anda, tetapi sekarang tidak lagi," katanya.
Bagi Umno Cheras, beliau berkata keadaan kewangan masih stabil dan mereka hanya memerlukan beberapa ringgit bagi membayar sewa bangunan dan gaji pekerja.
Bagaimanapun, Syed Ali berkata beliau mungkin akan mengecilkan skala acara Umno bahagian itu di masa akan datang untuk menjimatkan kos.
malaysiakini
Catatan 2
KJ mengaku 1MDB punca UMNO tumbang
Sinar Harian
5 Jun 05
Khairy berkata, UMNO sepatutnya sudah bertindak terhadap Najib apabila beliau memecat menteri yang secara terbuka menentangnya berhubung skandal 1MDB pada 2015. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui parti keramat Melayu itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang skandal 1MDB.
Khairy berkata, barisan kepimpinan tertinggi gagal menuntut penjelasan berhubung skandal kewangan tersebut hingga mengakibatkan Barisan Nasional (BN) berdepan kekalahan teruk pada 9 Mei lalu.
“Kami terlepas satu peluang untuk meyakinkan kami semua mengenai hakikat sebenar tentang situasi tersebut,” katanya kepada South China Morning Post.
Menurutnya, parti sepatutnya sudah bertindak terhadap Najib apabila beliau memecat menteri yang secara terbuka menentang bekas menteri kewangan itu berhubung skandal 1MDB pada 2015.
Pada 15 Mei lalu, Khairy dalam satu wawancara mengakui kesal kerana parti mengabaikan suara akar umbi yang mula dikesan menolak mereka selepas dua pemimpin kanan parti disingkirkan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib kini berhadapan siasatan dakwaan terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat milik kerajaan itu.
Beliau bagaimanapun menafikan sebarang dakwaan salah laku.
astroawani
Catatan 3
Kedegilan pemimpin atasan punca UMNO kalah teruk
Oleh Khairul Azran Hussin
SHAH ALAM: Kekalahan teruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan sikap degil pemimpin atasan yang enggan mendengar suara akar umbi.
Bekas Naib Presiden parti, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata, ahli akar umbi parti sudah memberi amaran awal kepada pemimpin atasan bahawa majoriti rakyat menolak beberapa dasar Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO, namun peringatan itu diambil mudah.
"Jadi, apabila ada pemimpin tertentu dalam UMNO yang berpendapat jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti, ia adalah satu lagi contoh sikap degil yang perlu dibuang.
"Rakyat sudah memberi isyarat jelas dengan menolak UMNO pada PRU-14. Kenapa pula ada cadangan jangan adakan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti? Sudah tiba masanya UMNO berubah serta buang gaya berpolitik zaman dahulu.
"Selera serta kemahuan rakyat sudah berubah seiring dengan peredaran masa. Jadi, corak politik UMNO juga perlulah berubah," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan satu daripada tiga jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Bagaimanapun cadangan itu ditolak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan menyifatkannya sebagai mengarut serta tidak boleh lagi didengari dalam UMNO, jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat.
Dalam pada itu, ditanya mengenai ketiga-tiga jawatan tertinggi itu yang akan dipertandingkan serentak pada 30 Jun ini, bekas Menteri Besar Selangor itu berharap ahli parti dapat membuat keputusan terbaik demi kelangsungan parti.
"Pemilihan pada kali ini adalah paling kritikal dalam sejarah UMNO. Siapa nakhoda yang akan dipilih akan menjadi penentu sama ada UMNO berjaya mengharungi masa depan yang sangat getir atau sebaliknya," katanya.
bharian
0 comments:
Post a Comment