Friday, June 29, 2018
rampasan
Nilai barangan dirampas antara RM900j hingga RM1.1b - Amar Singh
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Amar Singh berkata, sebanyak 12,000 pelbagai barang kemas ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis.
Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.
"Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta," katanya.
Bercakap pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi, Amar Singh juga berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.
Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta.
Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000.
Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.
"Jam tangan paling mahal dirampas adalah Rolex Paul Newman Daytona yang bernilai RM3.5 juta, Chopard (RM2.5 juta), Richard Mille (RM1.6 juta)," katanya.
Beliau berkata, kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.
Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.
"Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.
"Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota," katanya.
Selain itu, Amar Singh juga mengesahkan jumlah rampasan wang tunai pelbagai mata wang di enam premis yang diserbu berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM116.7 juta.
Bagaimanapun, katanya, wang tunai yang dirampas itu tidak dapat dipastikan ia milik UMNO seperti yang didakwa.
Amar Singh berkata, sumber atau penyumbang kepada barang-barang yang dirampas sedang dikenal pasti untuk diambil keterangan.
Beliau juga mengesahkan polis menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan polis masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.
"Kita akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk diambil keterangan," katanya.
Pada sidang media 25 Mei lalu, Amir Singh dipetik berkata, 35 daripada 72 beg yang dirampas dari sebuah unit kediaman di Pavillion Residences berkaitan Najib, mengandungi wang ringgit bernilai RM114 juta.
Beliau juga memaklumkan 37 lagi beg dirampas mengandungi wang tunai manakala selebihnya berisi barang kemas dan jam tangan mewah.
bharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment