KEPADA PENGUNDI-PENGUNDI TANJUNG PIAI
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu surat ini saya tulis bersempena dengan kempen piliharanya kecil bagi Parlimen P.165 Tanjung Piai yang akan berakhir sedikit hari lagi.
Saya percaya calon Pakatan Harapan yang kami tawarkan Tuan Haji Karmaine Sardini, yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tanjung Piai adalah calon yang amat sesuai untuk meneruskan usaha-usaha Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik.
Selain memahami kehendak serta hati budi penduduk setempat, Haji Karmaine pastinya akan mampu meneruskan rancangan pembangunan serta mengagih peruntukan-peruntukan untuk Parlimen ini yang telah berjaya didapatkan dahulu oleh Allahyarham Dr Md Farid.
Dalam lain perkataan Haji Karmaine merupakan calon yang paling baik untuk meneruskan pembangunan dan memastikan kesinambungan kemajuan Tanjung Piai.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan telah memasuki usia 18 bulan. Dalam tempoh ini kita telah melalui satu tempoh sukar untuk mengembalikan Negara ke atas landasan yang betul dan memperbaiki kerosakan-kerosakan lalu yang begitu teruk.
Memang benar kita tidak boleh selalu menyalahkan Kerajaan terdahulu di dalam usaha memajukan Negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.
Di masa yang sama sudah pasti rakyat yang mengikuti perkembangan kes-kes di mahkamah akan menyedari bahawa kerosakan yang berlaku akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa hampir menjahanamkan Negara.
Kerana itu salah satu keutamaan Kerajaan ialah mengambil langkah-langkah jelas dan tegas untuk memastikan perbuatan-perbuatan tersebut tidak berulang dan pemimpin-pemimpin Negara tidak berpeluang mencari kemewahan diri tanpa rasa takut akan hukuman yang menanti.
Selain dari menumpu langkah-langkah mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, Kerajaan turut menumpu kepada memulih ekonomi Negara.
Selain menerus rancangan-rancangan Malaysia yang telah disedia, Kerajaan turut memperkenal strategi-strategi jangka pendek dan jangka panjang termasuklah Wawasan Kemakmuran Bersama yang kita yakin akan dapat mengurangkan jurang pendapatan di antara kaum, daerah dan wilayah.
Perancangan-perancangan ini mengambil sedikit masa tetapi rakyat akan mula merasai nikmat tidak lama lagi.
Saya percaya, jika rakyat menilai dengan baik, sudah pasti mereka dapat melihat dan merasai nikmat-nikmat yang datang walaupun secara beransur-ansur.
Selain itu, mereka juga pasti dapat melihat betapa pemimpin-pemimpin dari parti Kerajaan sekarang beserta isteri mereka tidak bermewah-mewah dengan harta rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Kerajaan ini percaya kepada kesederhanaan di dalam cara berpolitiknya. Terdapat usaha melaga-laga rakyat. Apabila berdepan dengan orang Melayu, mereka menuduh Kerajaan ini walaupun dipimpin oleh orang Melayu menggadai segalanya kepada orang bukan Melayu.
Apabila mereka menemui orang bukan Melayu mereka menghasut bahawa pemimpin bukan Melayu di dalam Kerajaan telah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan. Akibatnya, orang Melayu merasa masa depan mereka tidak terjamin dengan Kerajaan ini. Di masa yang sama orang bukan Melayu turut tidak puas hati dengan ahli-ahli Kerajaan bukan Melayu kerana dituduh membelakangkan kepentingan mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dua perkara ini tidak boleh berlaku di dalam satu masa yang sama dengan Kerajaan yang sama. Jika orang Melayu merasa bahawa Kerajaan ini gagal mempertahankan kepentingan Melayu, maka orang bukan Melayu seharusnya rasa puas hati.
Dan jika orang bukan Melayu merasa tidak puas hati dengan Kerajaan ini kerana dikatakan tidak mempertahankan kepentingan mereka, seharusnya orang Melayu merasa puas kerana mendapat kehendak mereka.
Ini berlaku kerana Kerajaan ini bertindak di atas dasar konsensus apabila melakukan keputusan. Ini bermakna setiap kepentingan rakyat di ambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Apabila kita membuat keputusan dengan cara yang demikian setiap kaum dan kumpulan tidak merasa puas hati sepenuhnya.
Bagi saya ini adalah lebih baik dari satu pihak merasa begitu puas hati dan pihak yang lain akan merasa begitu tidak puas hati.
Malaya dan Malaysia maju dari awal penubuhannya kerana sikap tolak-ansur dan semangat kerjasama di antara pemimpin-pemimpin yang dari dulunya berbilang kaum. Semangat dan sikap ini turut dihayati oleh rakyat dan ini telah membuat rakyat Malaysia bersama-sama berusaha menaikkan nama Negara.
Semangat inilah yang cuba dikembalikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan ia tidak akan berjaya jika rakyat terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan ekstrem yang tidak menghiraukan perpaduan di antara rakyat.
Perlu diingat, permainan politik perkauman ini didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan mereka ketika berkuasa.
Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibat tercetusnya pertembungan di antara kaum kerana bagi mereka, jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir.
Kerana itu, tuan-tuan dan puan-puan perlu memperlihat bahawa kita tidak terpengaruh dengan politik sempit untuk kepentingan diri segelintir mereka.
Jangan berikan mereka peluang untuk terus mengadu-domba rakyat dan cara yang paling mudah ialah tidak mengundi wakil mereka di dalam pilihanraya kecil Tanjung Piai ini.
Sekian, terima kasih.
Dr. Mahathir bin Mohamad
Pengerusi Pakatan Harapan
Pengerusi BERSATU