Sunday, July 29, 2018

ke era lampau


Ya, saya mahu bawa Malaysia kembali ke era lampau, Dr M beritahu Najib
FMT Reporters | July 27, 2018

Perdana menteri mengalu-alukan peletakan jawatan beramai-ramai pengarah Khazanah, dan menjawab kritikan terhadap dasar ekonomi.


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab kritikan bekas perdana menteri yang mengatakan kerajaan mahu membawa Malaysia kembali ke era lampau.

Beliau berkata lebih baik Malaysia kembali ke keadaan ketika negara dikenali sebagai kuasa ekonomi.

“Era lampau itu era bila Malaysia dikenali sebagai Harimau Asia. Adakah dia mahu katakan rakyat patut dibawa ke era negara dikenali sebagai kleptokrasi yang dipimpin seorang kleptokrat?” kata perdana menteri dalam kenyataan.

Semalam, Najib ketika berucap di Parlimen menuduh kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan dasar ekonomi “regresif”.

Dr Mahathir turut menyentuh laporan RM2 bilion terhapus di Bursa Malaysia, perdana menteri berkata ia cuma kerugian atas kertas berbanding hutang negara RM1 trilion yang diwarisi daripada kerajaan lepas.

“Jumlah hutang itu nyata, jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang itu nyata. Sebahagian besar jumlah yang ‘dilaburkan’ oleh pentadbiran terdahulu belum diperoleh semula kerana kita tak tahu di mana ia dilaburkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir mengalu-alukan peletakan jawatan beramai-ramai pengarah Khazanah Nasional.

Media melaporkan semua 9 pengarah di syarikat milik kerajaan itu meletakkan jawatab selepas Dr Mahathir berkata Khazanah menyimpang dari tujuan asal.

Mereka berkata langkah itu bagi membolehkan kerajaan melantik ahli lembaga pengarah baru.

“Tindakan ini membolehkan penstrukturan kerana dasar kita kini berbeza. Walaupun kita percaya gaji perlu setimpal tetapi ia tak boleh sentiasa berdasarkan kadar komersial.

“Kita lebih suka cara memberikan bonus yang setimpal berdasarkan prestasi kerana beberapa syarikat mungkin tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan,” katanya.

fmt
Share this article :

0 comments: