Monday, July 2, 2018

tugas baru


Zeti mulakan tugas rasmi Pengerusi PNB
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selepas menghadiri sesi mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memulakan tugas rasmi sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu, hari ini.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu tiba di perkarangan PNB pada jam 2.55 petang selepas menghadiri sesi mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham yang bermula 10 pagi tadi.

Ketibaan anggota MPK itu di sambut oleh Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan kakitangan PNB.

Difahamkan Zeti akan mempengerusikan satu mesyuarat pada jam 3 petang ini.

Perlantikan Zeti sebagai Pengerusi PNB yang baharu berikutan persaraan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Kumpulan PNB dan Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) berkuat kuasa Sabtu lalu.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM280 bilion.

PNB adalah antara enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menguasai ratusan syarikat senaraian awam dan persendirian di Malaysia.

bhonline


Zeti mahu kerjasama rapat dengan GLIC


KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baru dilantik, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap dapat bekerjasama rapat dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengekalkan prestasi dan sumbangan ekonomi secara keseluruhan.

Zeti juga akan terus menjalankan tugasnya sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) yang ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan.

"Saya akan terus memainkan peranan saya sebagai MPK (ahli), kerana ia hampir 50 hari sekarang, tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan (sebagai anggota MPK)," katanya ketika meninggalkan Menara Ilham selepas menghadiri mesyuarat MPK di sini, hari ini.

PNB pada Jumaat lalu mengumumkan Tan Sri Abdul Wahid Omar akan digantikan oleh bekas Gabenor Bank Negara itu berikutan persaraannya berkuatkuasa 30 Jun lalu.

Zeti juga berkata beliau akan menghadiri pertemuan pertamanya dengan pasukan PNB petang ini.

"Perjumpaan saya dengan PNB petang ini, sementara pada waktu pagi, saya tertumpu di sini (Menara Ilham)," katanya.

Mengulas mengenai hala tuju strategik Abdul Wahid untuk meningkatkan operasi GLIC, beliau berkata tidak dapat mengulas mengenai rancangan pendahulunya itu kerana perlu diberi taklimat mengenainya.

"Saya perlu tahu butiran," katanya ketika ditanya mengenai penerusan pelan PNB oleh Abdul Wahid. -BERNAMA

bhonline
Share this article :

0 comments: