30.6.1985: Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan kanak-kanak tidak bernasib baik dan yatim piatu di dalam satu majlis jamuan teh di kediamannya di Seri Perdana. Gambar menunjukkan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bermesra dengan kanak-kanak yang hadir.- Foto Sumber Arkib Negara
Lebih 20,000 hadir rumah terbuka Tun M
18 Ogos 2013
KUALA LUMPUR - Lebih 20,000 orang hari ini menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di kediaman mereka di sini.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Walaupun majlis bermula jam 10 pagi namun ramai yang tiba awal untuk beratur dan bersalaman dengan Dr Mahathir dan isteri manakala kanak-kanak pula mendapat duit raya.
Cuaca terang menjadikan suasana lebih ceria dengan orang ramai mengambil peluang bergambar dengan pasangan tuan rumah itu sambil menikmati pelbagai juadah tradisional yang turut disertai alunan lagu raya.
Perkhidmatan bas perantara turut disediakan untuk memudahkan orang ramai bergerak dari tempat letak kereta ke majlis berkenaan.
Antara makanan yang disajikan ialah ketupat, kuah kacang, lemang, rendang, sate, nasi minyak serta beraneka kuih.
Dr Mahathir dalam pada itu turut memohon maaf kepada mereka yang tidak berkesempatan bersalaman dan bergambar dengannya.
Monica Lee, 32, eksekutif pengiklanan dari Shah Alam melahirkan rasa teruja dapat bersua muka dengan Dr Mahathir yang menjadi idolanya sejak di sekolah menengah.
Lee yang hadir bersama suami dan dua anaknya, masing-masing memakai baju kurung dan baju melayu berwarna merah untuk turut sama merasai suasana hari raya.
"Kami bangun pukul 6 pagi dan terus bersiap pakai baju raya sebab tidak mahu terlepas peluang keemasan berjumpa Tun," katanya yang tiba di majlis itu pada 9 pagi.
S.Murugiah, 46, pengusaha restoran dari Melaka berpuas hati meskipun perjalanannya ke sini mengambil masa tiga jam namun kunjungannya itu berbaloi.
"Saya gembira sangat bukan sahaja dapat bersalam dengan Tun Mahathir tapi juga bergambar dengannya. Saya akan letak di dinding rumah untuk semua orang tengok," katanya sambil tersenyum bangga.
Adravan Abbas, 26, pelajar Iran berkata ini kali pertama dia berkunjung ke rumah terbuka dan berasa bertuah dapat melihat sambutan Aidilfitri yang dikunjungi pelbagai kaum.
"Saya suka tengok baju-baju raya yang dipakai tetamu, berwarna-warni tak kira bangsa dan agama. Makanan Malaysia juga sedap dan sesuai dengan cita rasa saya," katanya yang menggemari sate dan rendang. - Bernama
sinarharian
Ucapan Aidilfitri Tun M 2017
Maaf, tak dapat salam semua - Tun M
Siti A'isyah Sukaimi; Suhaila Shahrul Annuar; Ahmad Suhael Adnan; Manirajan Ramasamy; Esther Landau dan Veena Babulal
“SAYA ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir. Setakat ini, saya sudah bersalam bersama 55,000 orang.
“Saya takut tangan saya lekang (tertanggal), tapi Alhamdulillah masih lagi boleh bersalam,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pengunjung yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Putrajaya, hari ini.
Pada masa sama, Dr Mahathir turut memohon maaf kepada mereka memandangkan ada yang tidak berpeluang bersalam dengan beliau.
“Bila sampai masa, terpaksalah (berhenti). Jadi saya ucap selamat hari raya kepada semua yang hadir.
“Saya minta maaf tak dapat bersalam dengan semua yang hadir, tetapi kena tunggu tahun depanlah pula. Timbalan Perdana Menteri akan bersalam menggantikan saya.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang Islam dan bukan Islam. Terima kasih sekali lagi... timbalan saya masih muda, boleh bersalam lagi dan saya beri peluang kepada dia," katanya berucap di hadapan pengunjung yang masih beratur dan menunggu untuk bersalam dengan beliau.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sambutan perayaan hari ini juga disifatkan sebagai satu kemenangan.
“Kerana tuan dan puan, kita sudah menang walaupun banyak yang kata kita tak boleh menang, tetapi Alhamdulillah sokongan tuan dan puan kami dapat kemenangan.
“Sebab itu, kami ingin ucap terima kasih kepada tuan dan puan yang mengundi Pakatan Harapan dan insya-Allah kami akan tunaikan janji kita iaitu janji pertama nak dihentikan ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Tuan dan puan cuma pangkah saja, sudah luput undang-undang yang zalim ini. Itu saja yang kita minta dan itu saja tuan dan puan beri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada masa ini, rakyat juga akan menikmati kehidupan lebih selesa.
“Sekarang ini kita menikmati cara hidup lebih selesa dan tidak begitu menekan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya sebelum beredar meninggalkan Kompleks Seri Perdana.
Sementara itu, sehingga jam 4.30 petang tadi, kira-kira 80,000 pengunjung dicatatkan menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.
metro
Dr M: PH menang atas sokongan kuat rakyat, bukan usaha saya seorang
Bernama
June 15, 2018
Perdana menteri berkata, jika mendapati kerajaan sudah usang dan tidak sesuai, hanya dengan cara mengundi kita dapat menukar kerajaan.
Dr Mahathir berkata, sokongan kuat di akar umbi mengatasi pelbagai rintangan sehingga pemerintah sebelum ini gagal menyelamatkan diri. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembentukan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) merupakan hasil sokongan rakyat yang kuat.
Beliau berkata, kejayaan PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan usaha beliau seorang sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata, sokongan kuat di akar umbi mengatasi pelbagai rintangan sehingga pemerintah sebelum ini gagal menyelamatkan diri.
“Inilah demokrasi yang bermakna, rakyat bebas memilih kerajaan jika mereka mendapati kerajaan sudah usang dan tidak sesuai, hanya dengan cara mengundi kita dapat menukar kerajaan kita.
“Kita tidak perlukan keganasan, peperangan dan permusuhan antara rakyat,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.
Sebagai pemerintah, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu sedar apabila rakyat tidak mahukan mereka lagi, maka lebih baik pemerintah mengambil berat pandangan rakyat.
“Dengan pertukaran kerajaan, sokongan luar biasa dan perpaduan semua kaum, negara akan menjadi aman dan kita dapat pulih semula negara ini dan menyelesaikan masalah hutang negara berbilion ringgit yang dilakukan pemerintah terdahulu.”
Dalam pada itu, katanya, dengan kerjasama rakyat, keselamatan dan keamanan negara, kerajaan PH akan dapat memulihkan negara supaya semua rakyat hidup tanpa tertekan dengan kezaliman kerajaan.
“Inilah hasrat kerajaan PH…mudah-mudahan kami dapat tunaikan janji-janji kami kepada rakyat.”
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilftri ini merupakan yang pertama selepas PH mencatat kemenangan pada PRU14.
fmt
0 comments:
Post a Comment